
SEREMBAN, 30 Jun — Mahkamah Tinggi Seremban pada Selasa membenarkan permohonan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Datuk Ishak Ismail bagi penangguhan pendengaran untuk mengetepikan pengisytiharan muflis terhadapnya.
Peguam mewakili Ishak, CS Murtti berkata Hakim Datuk Kamaludin Md Said yang mendengar permohonan itu di dalam kamar menangguhkan kes itu ke 23 Julai.
Penangguhan itu dibenarkan selepas hakim mempertimbangkan persetujuan diberikan ahli perniagaan Datuk Misran Sukadi bagi membolehkan kes itu diselesaikan di luar mahkamah, katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.
Murtti berkata hakim turut membenarkan penggantungan perintah muflis terhadap Ishak, 64, yang dibuat Penolong Kanan Pendaftar mahkamah itu pada 18 Mac lalu selepas beliau gagal membayar pinjaman Misran berjumlah RM2 juta.
Sementara itu, Ishak berkata penggantungan perintah muflis terhadapnya membolehkan beliau meneruskan khidmatnya kepada masyarakat setempat.
“Sebelum ini akaun bank saya dibekukan, menyukarkan saya membantu masyarakat setempat dari segi kewangan.
“Sekarang ni mahkamah dah buat keputusan, maka senanglah saya nak membantu sebab nak harapkan peruntukan kerajaan makan masa nak keluar wang,” katanya.
— BERNAMA