
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Polis menyangkal dakwaan berlaku pecah amanah dalam kes pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata buat masa ini polis tidak terbabit dalam siasatan kerana tidak terdapat elemen pecah amanah dalam kes tersebut.
“Keseluruhan siasatan akan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM),” kata beliau di Bukit Aman hari ini.
Minggu lalu, akhbar Australia, The Age melaporkan bahawa seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta ringgit wang kerajaan untuk membeli sebuah blok bangunan di Melbourne.
Menurut laporan itu, “sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya” telah membelanjakan berlebihan hingga A$4.75 juta (RM13.8 juta) untuk pembelian blok kondominium di bandaraya itu pada 2013.
Ketiga-tiga mereka didakwa membuat bidaan berlebihan untuk mendapatkan bangunan tersebut yang dikenal pasti sebagai Dudley International House.
Bangunan berkenaan untuk dijadikan asrama pelajar-pelajar tajaan MARA di Melbourne.