Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Apakah Semakin Bermoral Politik Kita?

By 8 Julai 2015Tiada komen4 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Akhlak atau moral adalah teras kepada jatuh bangunnya sesuatu tamadun dan bangsa. Justeru, tidak hairanlah dunia Barat yang dikatakan menolak agama masih menetapkan beberapa nilai moral untuk menjamin kesejahteraan masyarakat mereka. Demikian juga dalam politik Barat,  persoalan mengenai moral turut diberi perhatian.Walaupun politik Barat bersifat sekular, namun mereka masih berpegang kepada etika dan nilai moral tertentu. Dunia politik Barat tidak akan menerima pemimpin yang terpalit atau terlibat dalam soal-soal moral seperti skandal seks, penyelewengan kuasa dan rasuah.

Malangnya di dunia Timur yang dianggap berbudaya dan berpegang kuat kepada moral dan agama menghadapi masalah dalam budaya politik. Ini termasuk di negara kita sendiri. Politik kita semakin terhakis daripada nilai-nilai akhlak dan moral. Wajah politik kita menjadi hodoh kerana penyakit gila kuasa dan politik wang. Ramai politikus kita yang  memiliki ’jiwa mazmumah’ kerana gila kuasa sehingga lupa ’mahkamah ilahi’. Apakah ini warisan politik yang ingin kita wariskan kepada generasi kita?

Bertitik tolak dari penyakit gila kuasa dan politik wang, maka ia turut menyuburkan politik fitnah, dan politik cantas mencantas. Perebutan jawatan  semakin berleluasa. Pembohongan dalam politik juga semakin menjadi amalan  dan budaya dalam dunia politik kita. Ia menjadi penyakit yang semakin mewabak.

Dari pelbagai bentuk politik kotor inilah  munculnya kezaliman politik ke atas  seseorang yang dimusuhi dan tidak sebulu. Penyalagunaan kuasa bukan sahaja dilakukan para pemimpin politik tetapi juga di kalangan pentadbir. ”Perang rasuah” yang giat dijalankan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM)  menyingkap persoalan mengenai betapa merosotnya integriti dalam politik dan pentadbiran kita.

Adalah sangat tidak bermoral apabila wujud dalam kalangan ahli politik dan pentadbir kita yang menggunakan kuasa dan kedudukan untuk mengaut kekayaaan negara dan menyelewengkan peruntukan yang sepatutnya disalurkan untuk kepentingan rakyat. Kita seharusnya malu dengan pemimpin dunia Barat yang lebih bermoral dan berintegriti dalam soal politik dan pentadbiran. Sikap dan  tanggungjawab mereka terhadap kesalahan moral cukup tinggi sesuai dengan tahap politik mereka yang matang, rasional dan bertamadun. Jika berlakunya sebarang penyelewengan maka mereka sedia untuk disiasat dan diambil tindakan atau mereka sendiri akan meletakkan jawatan. Sikap mulia ini juga belaku di beberapa negara di Timur seperti Jepun dan Korea Selatan. Sikap bersedia memikul tanggungjawab (akauntabiliti)  ini  sepetutnya dicontohi oleh ahli politik dan pentadbir kita.

Paling jahat dan hina ialah apabila agama turut dijadikan alat mengamalkan politik kotor. Paul Wildman, seorang pengamat media dan politik Amerika Syarikat (AS) dalam bukunya Fraud: The strategy behind Bush lies and why the media didn’t tell you (2004) menyebut adalah paling malang apabila kekejian moral politik berselindung di sebalik jubah atau kealiman. Apakah ahli politik kita mahu berperangai seperti itu?

Apabila agama digunakan untuk membohongi atau menipu rakyat maka malapetaka pasti menghampiri masyarakat itu. Memperalatkan agama demi agenda politik peribadi dan parti adalah perlakuan yang sangat tidak berakhlak dan bermoral. Fitnah dan pembohongan politik juga semakin berleluasa apabila ramai ynag menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita-berita palsu dan fitnah ke atas seseorang.

Pembohongan dan caci maki dalam penulisan politik begitu berleluasa sehingga ramai yang termakan fitnah dan menyebar luaskannya sehingga masyarakat menjadi kalut dengan bermacam fitnah politik . Kita bimbang kerosakan akan terus berlaku apabila wujudnya pemimpin yang tidak ada ’mea culpa’ (perasaan bersalah) dan terus  mencipta berbagai fitnah dan pembohongan semata-mata untuk memenuhi agenda tersembunyi mereka. Semuanya kerana ’kuasa’ sehingga kita lupa menegakkan keadilan sedangkan keadilan adalah tunjang kemanusiaan.

Politik tanpa nilai keadilan akan membawa kehancuran sesebuah masyarakat atau negara. Apakah kita lupa betapa pentingnya membina masyarakat yang berakhlak. Masyarakat berakhlak dan bermoral perlu dibangunkan kerana ia adalah kunci kesejahteraan dan keharmonia hidup. Persoalannya, bagaimana kita dapat mencapai masyarakat yang sedemikian rupa sekiranya politik kita menuju ke arah kebobrokan sedangkan politik dan kuasa memiliki pengaruh yang besar dalam membentuk tindakan dan sikap masyarakat.

Kita tidak boleh berpaut kepada ’pragmatisme moral’ kerana ia  adalah satu fahaman yang tidak berpegang kepada sesuatu idea tertentu mengenai moral, apatah lagi ajaran agama. Ia boleh menyebabkan kita mudah menjadi rakus dalam memburu kuasa.  Jika keadaan ini tidak disedari oleh ahli-ahli politik kita, maka bagaimana kita mahu mencapai politik yang matang, rasional dan bertamadun sesuai dengan harapan kita untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral dan berakhlak pada tahun 2020 nanti.

Kita bukan sahaja mahu maju dari segi kebendaan tetapi kita juga mahu menjadi masyarakat yang berakhlak dan bermoral. Apa gunanya kita ada Rukun Negara jika prinsip ’kesopanan dan kesusilaan’ yang menjadi salah stau dari lima prinsipnya tidak dihayati dan diterjemahkan dalam amalan politik kita? Dan, lupakah kita kepada prinsip ’kepercayaan kepada Tuhan’ yang sepatutnya mengajarkan kita bahawa agama mesti dijadikan panduan hidup kita.

Ahli politik kita harus membaca dan menghayati pemikiran (falsafah) mengenai moral dalam politik dan kekuasaan.  Mereka harus membaca sirah rasulullah SAW dalam berpolitik. Mereka juga harus membaca pemikira Kung Fu Tze ahli falsafah China yang membincamgkan konsep kerajaan ’benevolant government’. Demikian juga pemikiran Abu Hassan Al-Mawardi dalam bukunya Al-Arqam Al-Sultaniah dan St Augustine dalam karyanya  The City of God – kedua-duanya membincangkan politik, negara dan pemerintah serta kaitannya dengan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

 

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda