Skip to main content
Home

Ops Selamat 7: Keselamatan Harta, Kemalangan Di Hari Raya

By 8 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham

KUALA LUMPUR, 8 Julai 2015 (Malaysiaaktif) – Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara akan memberikan sepenuh komitmen bagi  mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan kali ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar berkata, Op Selamat yang masih mengekalkan tema terdahulu iaitu “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi” akan dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 10 hingga 24 Julai ini.

Justeru itu, pihak polis akan meningkatkan rondaan pencegahan jenayah di taman perumahan dengan melibatkan pegawai dan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit dan lain-lain rondaan sebagai elemen utama untuk mencapai matlamat operasi.

Tambah beliau lagi bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, pihak polis akan mengadakan Ops Perangkap Had Laju di kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya dan memberi tumpuan kepada penunggang motosikal menerusi Operasi Motosikal yang mencatatkan jumlah kematian yang tinggi dalam statistik kemalangan yang dilaporkan sebelum ini.

“Pihak polis akan tetap memberi tumpuan kepada kesalahan-kesalahan berkaitan seperti memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memotong barisan serta kesalahan melanggar isyarat lalu lintas,” kata beliau dalam Majlis Pelancaran Op Selamat 7/2015 Sempena Hari Raya Aidilfitri di Stesen Sentral Kuala Lumpur, semalam.

Beliau turut menasihatkan pemilik kediaman atau premis untuk memaklumkan kepada pihak polis tentang kepulangan mereka ke kampung halaman dengan memuat turun dan menghantar Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh didapati di balai dan Portal Rasmi PDRM, www.rmp.gov.my.

Tinggalkan komen anda