
Oleh : Pradeeb Kumar Velayutham
PUTRAJAYA, 22 Julai (MalaysiaAktif) – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengingatkan penjawat awam agar tidak melibatkan diri dalam perbuatan yang boleh mencemarkan imej perkhidmatan awam dan menjejaskan ketenteraman negara.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, beliau berkata penjawat awam harus memberikan tumpuan dan komitmen dalam meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan Agenda Transformasi Nasional.
Beliau mengambil maklum dan memandang serius beberapa perkembangan semasa yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Menurut beliau, ini susulan siasatan polis Thailand yang mendapati terdapat pihak tertentu dalam negara bersama anasir luar dipercayai terbabit dalam konspirasi terhadap kepimpinan negara.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai khianat terhadap negara.