
Oleh Zaid Awang
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Malaysiaaktif) – Penyanyi veteran Samsudin Lamin yang popular dengan lagu-lagu aslinya meninggal dunia di rumahnya di Kampung Setia, Kuang kira-kira 7.40 pagi tadi.
Allahyarham, 76 tahun, baharu tiga bulan berpindah ke Kampung Setia dan sebelum ini tinggal di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor.
Keadaan beliau merosot sejak jatuh ketika ke bilik air lebih kurang dua bulan lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri , dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Jenazah selamat dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 20, Kuang kira-kira pukul 2.45 petang tadi.
Allahyarham mula menceburi bidang nyanyian apabila menyanyi untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 1951 bersama Orkes Rangkaian Tunas Baru.
Pada 1961 dan 1971, Samsuddin menyertai pertandingan Bintang Asli.
Antara lagu yang pernah didendangkannya, termasuk “Titisan Embun Pagi”, “Pantun Seloka” dan “Dondang Sayang Hari Raya” secara berduet bersama penyanyi muda Jamilah Abu Bakar.