Skip to main content
HomeRencana & PendapatViral

Tautan Kasih Sebagai Pelengkap Aidilfitri

By 14 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Hisham Shah

PUTRAJAYA, 14 Julai (Malaysiaaktif) –Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan merayakan hari raya Aidilfitri. Ini bermakna Ramadan akan pergi meninggalkan kita sekali lagi  atau mungkin untuk selamanya, sekiranya tahun depan kita tidak lagi wujud.

Ramadan merupakan proses terbaik dalam membina perubahan diri sepanjang tahun. Ramadan yang bermatlamat taqwa, asasnya iman dan pendekatannya ialah dua perkara yang berjalan seiring, iaitu shiam (mencegah dan menahan) dan Qiam (membina). Manakala pendorongnya ialah janji Allah SWT untuk melipatgandakan setiap pahala yang dilakukan dan kemuncak sasarannya ialah pembersihan hati bagi menjelmakan fitrah manusia.

Kedatangan Aidilfitri disambut dengan seruan takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan kerana berjaya melaksanakan satu tuntutan ibadah sepanjang Ramadan. Amalan sepanjang Ramadan melalui ibadah fardhu dan sunat diharapkan dapat mengeratkan tautan kasih sesama kita sebagai pelengkap hari kemenangan ini.

Tautan kasih sebagai pelengkap Aidilfitri bermaksud mengeratkan lagi hubungan silaturahim, berlandaskan perasaan kasih sayang, belas kasihan, tidak bermusuhan dan sebagainya. Tautan kasih ini tidak mempunyai batasan, tidak mengenal usia,warna kulit, harta, status dan kedudukan. Ia perlu dieratkan demi menjaga hubungan sesama manusia dan kasih sayang sesama ummah.

Sesungguhnya tautan kasih termasuk dalam ibadah kepada Allah SWT dan merupakan sebahagian daripada rahmat Allah SWT. Oleh itu, agama Islam sentiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada umatnya, bagi memastikan ia sentiasa terpelihara.

Sebagai umat Islam yang beriman, kita dilarang mencetuskan sebarang permusuhan antara kita yang boleh melemahkan hubungan sesama ummah. Oleh itu, berdasarkan pesanan Saidina Uthman Affan yang bersungguh-sungguh menasihati umat Islam agar mengelakkan tragedi mengaibkan melalui tindakan melampau sehingga mencetuskan konflik.

“Suatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan adalah pahala orang yang berbuat kebaikan dan menghubung silaturahim, sedangkan paling cepat mendatangkan keburukan ialah seksaan bagi orang berbuat jahat dan memutuskan tali persaudaraan”.

Bagaimanapun, disebabkan kelemahan manusia sendiri, maka secara sedar ataupun tidak, tautan kasih sesama ummah pada hari ini dilihat mulai pudar. Ummah kelihatan berpadu pada zahir, tetapi tidak pada batin, seumpama pepatah Melayu, hidung dicium, pipi digigit. Mengapa tidak kita mengambil berat pesanan bermakna bekas Presiden Indonesia, Soekarno, “berikan daku sepuluh orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan seantero buana”. Bukankah pesanan ini membawa kepada penyatuan?

Selari dengan keberkatan Ramadan dan takbir keinsafan, semoga kita pulihkan dan kukuhkan hubungan dengan menghidupkan hubungan silaturahim sesama kita. Semoga Ramadan kali ini tidak berlalu dengan sia-sia.

 

Tinggalkan komen anda