
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Malaysiaaktif) – Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (TEKAM) menyokong penuh rancangan Kerajaan menggalakkan kemasukan warga Asing bagi mengisi kekosongan berdasarkan keperluan negara.
“Kami TEKAM telah membuat kajian secara terperinci dan kemasukan warga asing ini adalah industri kami, jadi kaji yang dibuat memang wajar atau tepat pada waktunya kerajaan merancang dan melaksanakan selaras dengan pembangunan di negara kita” jelas Presiden TEKAM, Dr Yusof Hashim
Persatuan itu turut menyedari kebimbangan rakyat yang berpendapat mereka akan kehilangan peluang pekerjaan kepada warganegara luar.
Mereka berpendapat pengambilan pekerja Bangladesh ini tidak bererti bilangan kemasukan pekerja asing akan bertambah kerana jumlah sebenar adalah berdasarkan keperluan dan kelayakan
Pengambilan pekerja tersebut akan di imbangi dengan pengurangan dari negara lain.
Setiausaha Agung TEKAM, Haji Shaharudin Syafie pula berkata, kemasukan warga asing perlu melalui prosedur tertentu.
“Kami juga bimbang sekiranya 1.5 juta warga asing masuk Malaysia dalam tempoh 3 tahun, tapi kita mesti ingat kami telah mengkaji dan mendapati bahawa waktu kerajaan membenarkan 1.5 orang pekerja itu, ia juga akan mengikuti saluran-saluran tertentu.
“Bukannya sapa hendak dia boleh masuk, kerajaan akan tentukan mekanisme…siapa yang layak, tak layak tak dapat, dan berdasarkan keperluan”
TEKAM berpendapat satu pendekatan yang menyeluruh perlu dilaksanakan terutama dari aspek mekanisme, iaitu pengambilan dan pengurusan warga asing berkenaan.
Kerajaan disarankan supaya mewujudkan pihak pengurusan tenaga kerja asing yang profesional dan berwibawa serta tidak diserahkan sepenuhnya kepada majikan.