
Oleh Pradeep Kumar
KUALA LUMPUR 3 JULAI (Malaysiaaktif) – “Abang-abang penyelamat, anda semua sentiasa disanjung dalam hati kami.”
Begitulah konteks post seorang pengguna laman sosial Facebook berikutan sikap proaktif dan komitmen para anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berjaya mengawal dan memadam kebakaran di Kondominium Pines, Brickfields semalam.
Yang menjadi fokus pujian pemegang akaun Facebook itu ketangkasan anggota bomba menyelamatkan ibunya yang uzur dan terpaksa diusung dari tingkat 16 kerana lif tidak berfungsi.
Kecekalan dan profesionalisme lebih terserlah memandangkan mereka menjalankan tugas sebegitu walaupun berpuasa.
Anggota bomba juga mengusung ke bawah seorang wanita mengandung lapan bulan.
Mereka turut disanjung dan dipuji oleh masyarakat setempat yang berbilang kaum.
Di penjuru lain sewaktu kejadian, beberapa orang sami Buddha dari Buddhist Maha Vihara yang terletak berdekatan bergegas ke lokasi dengan membawa minuman kepada penduduk pangsapuri yang berkumpul di bawah dalam cuaca panas.
Pemilik sebuah kedai serba guna di situ juga membahagikan roti dan ban percuma kepada mereka, sementara pengawal keselamatan bertungkus lumus membantu memastikan keselamatan penghuni yang terbabit.
Semangat kejiranan amat terserlah tanpa mengira batasan kaum dan agama – sesuatu yang disifatkan pemegang akaun Facebook itu sebagai contoh terbaik sifat kemanusiaan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, kebakaran memusnahkan hampir 95 peratus satu unit rumah 40 x 40 kaki.
Kejadian bermula lebih kurang pukul 12.45 tengah hari dan kebakaran dapat dikawal sepenuh pada pukul 2.20 petang.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.