
Oleh : Pradeeb Kumar Velayutham
CYBERJAYA, 14 Ogos 2015 (MalaysiaAktif) – Sejumlah 14 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, telah dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan dari Januari sehingga awal Ogos 2015 tahun ini.
Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd Yasin memaklumkan dalam satu kenyataan, kebanyakan kes yang didakwa itu melibatkan penyalahgunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), MMS dan laman blog.
Menurutnya, jenis kesalahan merangkumi penghantaran kandungan yang jelik sifatnya dengan tujuan menyakitkan hati orang lain, muat naik dan penghantaran kandungan lucah menerusi aplikasi e-mel mahupun media sosial.
Daripada jumlah tersebut, kata Zulkarnain, 10 kes telah dibicarakan dan dikenakan tindakan, manakala empat kes lain masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Dalam pada itu, kejayaan membawa 14 kes untuk pendakwaan di mahkamah, tambah Zulkarnain, membuktikan ketegasan dan komitmen MCMC dalam menangani masalah penyalahgunaan media sosial yang semakin berleluasa ketika ini.