
IPOH, 7 Ogos — Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan kerajaan negeri tidak akan bertoleransi dengan petani dan penternak yang mengadakan perhimpunan haram di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini Rabu lalu.
Beliau berkata tindakan mereka melakukan demonstrasi bagi mencari penyelesaian adalah tidak betul yang menampakkan seolah-olah kerajaan negeri tidak menghiraukan nasib golongan itu.
“Itu adalah modus operandi kumpulan tersebut yang bukan sahaja dilakukan di Ipoh, malah juga di Putrajaya dan dianjurkan berkali-kali sejak bertahun-tahun lalu.
“Minta maaf, ini bukan caranya dan saya tidak akan melayan mereka kerana sejak awal lagi, inilah cara mereka,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada Datuk Bandar Ipoh ke -10, Datuk Zamri Man sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi penggal 2015 – 2017 di Dewan MBI di sini hari ini.
Zambry berkata kerajaan negeri sentiasa membantu menyelesaikan masalah petani seperti yang menimpa petani di Coldstream, Bidor yang telah berjaya diselesaikan mengikut cara yang betul.
Bagaimanapun, beliau berkata masalah yang terdapat di kawasan yang diteroka secara haram tidak dapat diselesaikan kerana kerajaan juga mempunyai rancangan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Kerajaan mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah tetapi ada kawasan tertentu yang kerajaan telah kenal pasti untuk tujuan pembangunan.
“Takkan Perak tidak boleh membangun… dengan tuntutan kawasan perumahan, rakyat hendak kemudahan seperti bandar baharu. Jika tidak, rakyat akan menyalahkan kerajaan Perak kerana tidak berbuat apa-apa,” katanya.
Zambry berkata kerajaan sentiasa melaksanakan konsep pembangunan secara seimbang dan bersedia menyelesaikan masalah di kawasan yang masih belum mempunyai sebarang rancangan pembangunan.
“Kita jadikan konsep pembangunan di negeri ini secara seimbang tetapi untuk menuduh kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk petani adalah keterlaluan,” katanya.
Rabu lalu, kira-kira 200 petani dan penternak ikan dari 24 kawasan di Perak berhimpun sejak pukul 8.30 pagi untuk meminta Zambry campur tangan dalam usaha mereka mengekalkan aktiviti pertanian yang diusahakan di atas tanah kerajaan antaranya di Tronoh, Chenderong, Tanjung Tualang dan Malim Nawar.
Demonstrasi berkenaan menyaksikan 39 penternak dan petani termasuk empat wanita ditahan polis mengikut Seksyen 143 kerana berhimpun secara haram.
— BERNAMA