Skip to main content
HomeViral

Tema Hari Kebangsaan Cerminkan Perpaduan, Persaudaraan

By 7 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KOTA KINABALU, 7 Ogos — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘#sehatisejiwa” amat sesuai kerana ia mencerminkan semangat perpaduan, kekitaan dan kemanusiaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Musa berkata kepentingan tema berkenaan diperkuatkan lagi dengan cadangan menukar sambutan Hari Kemerdekaan kepada sambutan Hari Kebangsaan ke arah untuk mengukuhkan perpaduan dan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, ‘sehatisejiwa’ akan terus mengukuhkan kita tanpa mengira kaum, kepercayaan, budaya, tempat kelahiran atau sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sambutan tahunan Hari Kebangsaan, Sutera Harbour Resort di Marina and Country Club, di sini Jumaat.

Musa, yang diwakili Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ellron Alfred Angin berkata, pembangunan dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat Malaysia hari ini adalah atas dasar perpaduan, persefahaman dan rasa hormat antara satu sama lain yang wujud sebelum negara ini ditubuhkan.

“Kami bercita-cita untuk mempunyai sebuah negara yang aman dan progresif dari segi ekonomi dengan setiap rakyat menikmati kehidupan yang harmoni,” katanya.

Ketua Menteri itu turut menggesa rakyat Malaysia agar tidak memandang ringan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini dan mengambil inisiatif untuk mengukuhkan hubungan dan perpaduan serta bekerjasama ke arah membina sebuah negara yang gemilang.

“Semangat ‘sehatisejiwa’ amat ketara selepas gempa bumi yang melanda Ranau Jun lepas. Rakyat Malaysia dari seluruh negara telah memberikan sokongan mereka, menganjurkan solat dan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa,” katanya.

Pada sambutan yang berlangsung di gelangang tenis resort berkenaan, sebanyak 290 peserta terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia, anggota Rejimen 507 Askar Wataniah Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) melakukan lintas hormat.

Musa turut melahirkan penghargaan kepada Sutera Harbour Resort serta mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusannya yang menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan berkenaan setiap tahun.

Katanya, usaha berkenaan dapat membantu meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara.

“Sebagai ‘barisan hadapan’ dalam industri perhotelan dan pelancongan, Sutera Harbour Resort dan hotel-hotel lain memainkan peranan penting sebagai tuan rumah kepada pelawat di Malaysia,” katanya.

Beratus-ratus kakitangan resort, orang ramai dan orang kenamaan, termasuk Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeoh Boon Hai serta Timbalan Ketua Eksekutif Sutera Harbour Resort Gerard Tan turut mengambil bahagian dalam sambutan berkenaan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda