Skip to main content
GlobalHomeViral

Pengumuman Hasil Siasatan MH370 di KL dan Paris

By 6 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Munzir Madhadzir

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pasukan penyiasat antarabangsa dengan pasti mengesahkan bahawa serpihan yang ditemui di Pulau Reunion pada 29 Julai lalu adalah milik MH370.

Perdana Menteri Najib Razak menyatakan hal tersebut pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pukul 2 pagi tadi.

Selepas 515 hari hilang

“Kini kita mempunyai bukti fizikal bahawa sepertimana yang saya umumkan pada 24 Mac tahun lalu, pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi”, kata Najib.

Najib juga melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa dengan harapan berita ini mengurangkan beban keluarga mangsa yang disifatkan beliau sebagai tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Beliau berkata ia memberikan suatu kepastian kepada keluarga 239 penumpang MH370.

Pihak Berkuasa Perancis: “Sangkaan yang sangat kuat” milik MH370

Dalam satu sidang media berasingan di Perancis, Kementerian Kehakiman Perancis yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Paris, Serge Mackowiak menyatakan hasil siasatan awal mendapati terdapat sangkaan yang sangat kuat bahawa serpihan tersebut adalah milik MH370.

Sangkaan tersebut akan disahkan kebenarannya daripada analisis lebih terperinci yang akan bermula pada hari ini.

Pihak berkuasa Perancis telah membuka kertas siasatan kerana serpihan itu ditemui di kawasan Perancis dan empat daripada penumpang pesawat Kuala Lumpur menuju ke Beijing tersebut adalah warganegara Perancis.

Serpihan Flaperon Pulau Reunion

Seminggu lalu, serpihan logam sekitar 6 kaki panjang ditemui di pantai Pulau Reunion, pulau kepunyaan Perancis di selatan Lautan Hindi. Pakar kemudiannya mengenal pasti serpihan itu bahagian flaperon pesawat. Flaperon adalah bahagian belakang sayap pesawat yang boleh bergerak dan digunakan untuk mengemudi sesebuah pesawat.

Flaperon yang dilitupi dengan cengkerang laut itu kemudiannya dihantar ke makmal pertahanan di Toulouse, selatan Perancis untuk dianalisis oleh sekumpulan pakar antarabangsa bermula semalam.

Siasatan dilakukan dengan kehadiran wakil daripada MAS, Pegawai Undang-Undang Republik China, wakil syarikat penerbangan Boeing, pegawai polis dan majistret Perancis.

Penemuan ini telah memecahkan kebuntuan pasukan pencarian Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) yang diketuai oleh Kerajaan Australia. JACC masih belum menemui apa-apa petunjuk sepanjang operasi pencarian yang meliputi lautan Australia Barat sehingga selatan lautan Hindi.

Tinggalkan komen anda