Skip to main content
GlobalHomeViral

Waris Mangsa MH370 Terkejut Dengar Pengumuman PM

By 6 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

BERA, 6 Ogos  — Bapa kepada salah seorang mangsa Penerbangan MAS MH370, Selamat Omar, 62, terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengesahkan penemuan ‘flaperon’ di Pulau Reunion, adalah milik pesawat malang itu.

Beliau berkata penemuan itu adalah di luar jangkaan kerana kedudukan flaperon itu dari lokasi sebenar pesawat itu disahkan terhempas iaitu di Selatan Lautan Hindi lebih setahun lalu adalah terlalu jauh.

“Ini memang di luar jangkaan…sebab ia terlalu jauh dari lokasi sebenar pesawat itu dikatakan terhempas.

“Namun saya tetap menerima ini sebagai takdir…Usaha pencarian bukti-bukti lain akan diteruskan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di kediamannya di Felda Bukit Mendi di sini Khamis.

Selamat adalah bapa kepada mangsa Khairul Amri Selamat, 29.

Selamat berkata dengan penemuan bukti terbaharu itu mungkin sedikit sebanyak memudahkan usaha pencarian bukti-bukti lain termasuk barangan peribadi milik mangsa.

“Sekurang-kurangnya jika jumpa sehelai baju pun jadilah, ia untuk memberi keadilan kepada keluarga mangsa yang masih berharap agar mayat atau jenazah mereka dijumpai,” katanya.

Pesawat MAS Penerbangan MH370 yang membawa Mohd Khairul Amri bersama 226 penumpang lain bersama 12 anak kapal ke Beijing, China hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Di Kuala Lumpur, Maira Elizabeth Nari, 19, pula tidak dapat mengawal perasaan sedihnya apabila menerima berita pengesahan serpihan dari MH370.

“Buat masa sekarang tiada apa yang mampu saya katakan terhadap apa yang telah terjadi kepada bapa saya,” katanya.

Maira Elizabeth merupakan anak sulung kepada ketua pramugara MH370 Andrew Nari.

Sementara itu, Azrai Izet, 39, suami kepada penumpang MH370 Fadzilah Abd Rahim, ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen.

Tinggalkan komen anda