
Oleh: Faris Fuad
PUTRAJAYA, 14 Sept (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa keadaan ekonomi sekarang jauh lebih baik jika dibandingkan ketika krisis kewangan Asia pada 1997/1998.
Beliau turut menekankan pihaknya telah mengambil inisiatif mengukuhkan sumber ekonomi negara dengan memperkenalkan pelbagai sektor.
“Struktur ekonomi negara telah dipelbagaikan, dengan sektor berasaskan komoditi, seperti pertanian dan perlombongan, termasuk minyak dan gas, kini menyumbang hanya 18.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar berbanding 26.9 peratus pada 1998,” katanya dalam sidang media khas ekonomi di Pejabatnya, Putrajaya hari ini.
“Ekonomi negara terus berkembang dengan pertumbuhan sebanyak 5.3% bagi separuh pertama 2015 dan dijangka akan mencapai sasaran pertumbuhan yang masih kukuh antara 4.5% hingga 5.5% bagi keseluruhan tahun ini.”
Dalam pada itu, beliau berpendapat kejatuhan nilai ringgit tidak akan memberi kesan mendalam terhadap hutang kerajaan.
“Kejatuhan nilai ringgit dijangka tidak memberi kesan besar kepada jumlah hutang kerajaan persekutuan memandangkan 59 peratus daripada jumlah hutang berkenaan adalah dalam denominasi ringgit, dan sebahagian besarnya dibiayai daripada sumber tempatan,” kata Najib.
Sebelum ini, pihak pembangkang menyamakan keadaan ekonomi negara sekarang seperti sama dengan keadaan krisis ekonomi negara ketika 1997/1998.