Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

PRU-14 – Cabaran Getir Menanti UMNO-Barisan Nasional

By 3 September 2015Tiada komen6 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Dunia berubah pantas membawa sama pelbagai cabaran. Cabaran politik adalah sebahagian daripada cabaran itu.  Hari ini, UMNO-BN berhadapan dengan cabaran untuk mengekalkan sokongan rakyat,  terutamanya generasi muda. Memang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) lalu, UMNO masih menguasai kerusi terbesar di Parlimen. Namun, UMNO-BN kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu, terutamanya pengundi Cina. Malah, berlaku trend  orang Melayu mula beralih arah dan tidak lagi melihat UMNO sebagai parti keramat mereka. Ramai generasi muda Melayu hari ini mencerca dan memaki hamun parti yang telah banyak berjasa itu. Cercaan itu kebanyakannya dilakukan melalui media sosial.

Mengapa mereka mencerca dan memaki hamun  parti itu sukar untuk dipastikan. Namun, itulah cabaran yang dihadapi parti itu. Penolakan ini mula berlaku dalam gelombang yang cukup besar pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dikenali sebagai ‘tsunami politik’, terutamanya dalam kalangan pengundi Cina. Dalam PRU-12,  majoriti pengundi Cina tidak memihak  kepada BN. MCA dan MIC tewas teruk. Pengundi Melayu juga ramai yang menolak UMNO walaupun UMNO masih dapat meraih 60 peratus undi Melayu, berbanding hampir 80 peratus sebelumnya..

Kedudukan UMNO-BN yang merosot ini terus berlanjutan  dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac tahun lalu.

Dalam PRK Kajang itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mendapat kemenangan lebih besar dengan meningkatkan peratusan undinya, walaupun majoritinya kurang berbanding pilihan raya umum lalu. Calonnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya meningkatkan jumlah undi kepada 59.43 peratus berbanding 57.99 peratus dalam PRU-13 (2014).

Agak mengejutkan apabila dalam pilihan raya kecil itu PKR berjaya menembusi kubu kuat UMNO . PKR berjaya meningkatkan undi di kawasan Melayu. Dua daripada empat kawasan Melayu, iaitu Sungai Sekamat dan Taman Delima berjaya dimenangi PKR, manakala majoriti kemenangan BN di Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras berjaya dikurangkan. BN kalah hampir kesemua saluran pengundi anak muda.

Demikian juga dalam PRK Permatang Pauh yang diadakan pada Mei tahun lalu, PKR berjaya mempertahankan kubunya  biarpun dengan majoriti lebih rendah. Sekali lagi calonnya, Dr Wan Azizah berjaya memperoleh 30,316  undi manakala calon Barisan Nasional (BN),  Suhaimi Sabudin, memperoleh 21,475 undi. Dua lagi calon mewakili Bebas, Salleh Ishak dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman, masing-masing memperoleh 367 undi dan 101 undi. PKR menang dengan majoriti 8,841 undi, menurun berbanding 11,721 undi, yang diperoleh mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Dalam PRK Rompin yang juga dilangsungkan Mei lalu turut menunjukkan trend penurunan majoriti kemenangan BN (UMNO) daripada 15,114 undi kepada 8,895 undi. Calon BN (UMNO) Datuk Hasan Ariffin berjaya memperoleh 23,796 undi menewaskan  calon PAS Nazri Ahmad yang memperoleh14,901 undi. PAS berjaya meningkatkan sokongan pengundi Melayu, khususnya dalam kalangan pengundi muda.

Menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ia adalah isyarat pengundi kepada Putrajaya. Realitinya, UMNO tidak boleh lagi berasa selamat untuk berhadapan dengan PRU-14 nanti. Pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh berpecah belah. Segala masalah yang timbul mesti diatasi dengan penuh hikmah. Ini penting kerana UMNO tidak mempunyai banyak masa untuk mengembalikan kenyakinan rakyat, khususnya dalam kalangan orang Melayu.

UMNO-BN berada di bawah garis merah

Timbalan Presiden UMNO,  Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika  merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya tahun lalu menyebut bahawa zaman selesa UMNO  sudah berlalu dan UMNO kini terpaksa berhadapan cabaran perubahan minda pemikiran masyarakat Melayu, terutama dalam kalangan generasi muda. Beliau bimbang sekiranya UMNO tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat maka parti itu akan kehilangan kuasa pada masa akan datang.

Kebimbangan Muhyiddin ada asasnya kerana keputusan PRU-13 menunjukkan undi popular UMNO-BN  merosot.  Walaupun BN berjaya menawan 133 daripada 222 kerusi parlimen pada PRU-13 tahun lalu, tetapi undi popular menunjukkan 52 peratus sokongan rakyat berpihak kepada Pakatan Rakyat (PR).  UMNO-BN mengalami kekalahan teruk  di Selangor kerana kehilangan undi Melayu dan Cina. Selain itu, Johor yang dulunya kubu kuat UMNO-BN turut ditembusi pembangkang dengan kehilangan banyak kerusi. Situasi itu sudah cukup menggambarkan sokongan rakyat terhadap BN-UMNO semakin merosot. Muhyiddin juga pernah menyebut bahawa selepas PRU-13 lalu, BN berada di bawah garis merah (garis bahaya).

Dalam konteks ini, UMNO bukan sahaja berhadapan cabaran untuk menarik sokongan rakyat tetapi juga cabaran membina solidariti yang lebih bermakna dan kukuh dengan rakan politik MCA dan MIC. Walaupun boleh dijangkan bahawa UMNO masih mampu meraih kerusi terbanyak berbanding parti-parti lain dalam PRU akan datang, namun sekiranya rakan-rakan politik seprti MCA,  MIC dan Gerakan masih gagal mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing  maka kedudukan BN, terutamanya di semenajung akan akan tergugat. Ia sekali gus boleh menggugat kedudukan UMNO.

Dalam PRU-13 lalu  prestasi ketiga-tiga rakan politik UMNO itu merundum  teruk dan seakan-akan sukar untuk dipulihkan. Terkini MIC masih berhadapan dengan kemulut kepemimpinan kesan krisis antara S. Subramanian dan G.Palanivel. MCA dan Gerakan belum menampakkan kemampuan dalam meraih kembali sokongan kaum Cina. UMNO tururt berkocak dengan isu kritikan Mahathir ke atas Najib dan isu pengguran Muhiyiddin dan Shafie Afdal dari jawatan kabinet.

Selain itu, isu-isu yang membelengu kerajaan seperti 1MDB dan wang derma 2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib serta isu-isu rakyat yang lain terus menjadi senjata pembangkang untuk menarik sokongan rakyat. Sekiranya  BN terus kehilangan lebih dua peratus lagi undi dalam piliharanya umum akan datang maka tidak mustahil berakhirnya kuasa UMNO-BN untuk memerintah negara ini dan perlu bersedia menukar posisi sebagai pembangkang.

Rakyat terutamanya generasi muda  yang akan membentuk komposisi pengundi terbesar dalam pilihan raya akan datang mesti ditawan hati mereka dengan imej dan reputasi parti yang menyakinkan. Peremenjaan parti seperti yang dihasratkan oleh pucuk pimpinan mesti benar-benar dapat direalisasaikan supaya ia  memberi kesan positif terhadap keyakinan rakyat. UMNO mesti membungar kembali kekuatan parti melalui agenda transformasi yang benar-benar dapat memenuhi dan mengahrungi tuntutan zaman.

Transformasi tidak boleh diungkapkan secara retorik semata-mata tetapi mesti dibuktikan dengan amalan yang menyakinkan. Jika UMNO mahu terus relevan untuk mengemudi kepemimpinan negara maka ahli-ahlinya harus menghayati agenda transformasi yang dihasratkan pucuk kepemimpinan parti.

Kukuhkan solidariti, elakkan perpecahan

Seruan Najib selaku presiden parti yang mengajak semua anggota UMNO memperkukuh solidariti dan  mengelakkan perpecahan juga mesti disahut dengan baik. Seluruh ahli UMNO mesti mengamalkan semangat ’sehati sejiwa’ bagi berhadapan cabaran yang semakin getir. Justeru,  ‘kesatuan hati’ (wahdatul qalb) dituntut bagi membolehkan ahli menjiwai erti perjuangan parti – untuk agama, bangsa dan negara.

Sekiranya ahli parti benar-benar dapat membina solidariti yang lebih kukuh dan mantap maka jentera parti akan dapat bergerak dan bertindak atas satu landasan dan pasukan –  ’kesatuan matlamat’ – bagi mencapai tujuan perjuangan. Pemimpin dan ahli-ahli parti tidak boleh berkiblatkan kepada kepentingan peribadi dan kebendaan. Jika itu yang menjadi niat dan matlamat mereka maka UMNO akan hancur.

Yang perlu dilakukan mulai sekarang ialah seluruh ahli parti mesti segera bangkit dan merapatkan saf serta memastikan perubahan yang direncana dan dihasratkan itu dapat diterjemahkan dalam seluruh gerak kerja parti secara bersepadu dan penuh keikhlasan.

Kesimpulannya, landskap politik negara yang semakin mencabar sejak ‘tsunami politik’ 2008 (PRU-12) menuntut seluruh ahli UMNO menggalas tuntutan perubahan ke arah perjuangan parti yang lebih mantap dan meyakinkan. Pemahaman dan penghayatan yang betul terhadap perjuangan parti oleh pemimpin dan ahli-ahli UMNO adalah penting untuk memastikan obor perjuangan UMNO sentiasa menyala mengharungi badai politik yang semakin mencabar.

Komitmen seluruh ahli UMNO untuk terus bangkit dan merapatkan saf jemaah adalah penting demi memastikan seluruh gerak kerja parti berada dalam satu wadah, satu pasukan dengan satu matlamat untuk memenangi pilihan raya akan datang. Jika tidak, nantikan giliran UMNO untuk menjadi pembangkang di Parlimen nanti.

 

** Artikel ini cetusan hati penulis dan tidak sekali-kali mencerminkan dasar editorial MalaysiaAktif

Tinggalkan komen anda