
Oleh Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 6 Okt (Malaysiaaktif) — Hujan lebat sejak awal pagi hingga ke lewat petang semalam telah menyebabkan banjir di mukim Serdang dan mukim Relau.
Bandar Baharu yang bersempadan dengan Sungai Kerian, Perak dan Sungai Ulu Jejawi, Seberang Perai akan melimpah membanjiri sekitar kawasan setiap kali paras air kedua-dua sungai itu naik berikutan hujan.
Sementara itu, bagi mukim Serdang kenaikan paras air Sungai Serdang menyebabkan banjir di beberapa buah kampung, termasuk Kampung Majidee, Kampung Batu 16, Kampung Baru dan Kampung Lombong.
Menurut sumber daripada Pejabat Penghulu di Bilik Gerakan, Dewan Orang Ramai dibuka bagi menempatkan mangsa daripada tujuh keluarga yang dipindahkan, termasuk 16 keluarga dari Kampung Batu 16.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Majidee Mat Isa Yahaya berkata, hujan lebat yang berterusan dan kenaikan mendadak paras air Sungai Serdang faktor utama berlaku banjir di sini.
Bagi Mukim Relau pula banjir berlaku sekitar pukul 7.00 petang. Peningkatan air di Sungai Ulu Jejawi yang bersempadan dengan mukim Relau menyebabkan Kampung Paya Semambu dan Kampung Ulu Relau turut terkesanr. Bagaimana pun, tiada mangsa dipindahkan dan keadaan didapati terkawal.
Penduduk di kawasan terlibat berpendapat, bagi jangka pendek, antara penyelesaiaian kepada masalah ini termasuk usaha penyelengaraan secara berkala dan membaiki ban yang runtuh, selain melebarkan Sungai Serdang dan Sungai Ulu Jejawi.
Bagi jangka panjang mereka merujuk kepada Projek Tebatan Banjir Sungai Kerian yang sedang berjalan sekarang dan perancangan melebar dan mendalamkan Sungai Serdang dan Sungai Jejawi.