
Oleh Wan Muhamad Zikri Wan Kamis
KANGAR, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Sesi persekolahan di Perlis akan kembali dibuka bermula esok 7 Oktober, setelah dua hari ditutup akibat jerebu.
Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Haji Rooslee bin Haji Ismail selaku Pendaftar Sekolah Negeri telah mengarahkan agar semua sekolah yang ditutup atas sebab jerebu selama 2 hari, iaitu 5 dan 6 Oktober dibuka semula mulai esok.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua Pengetua dan Guru Besar memaklumkan kepada semua guru dan ibu bapa tentang perkara ini.
Sehingga pukul 4 petang tadi, indeks pencemaran udara (IPU) di Perlis menunjukkan bacaan 114, iaitu masih di paras tidak sihat.
Beberapa kawasan di Perlis juga dilimpahi hujan lebat petang tadi.