Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedahViral

Setiap Kali Banjir, Setiap Kali Hubungan Kampung Terputus

By 7 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohamad Ramzi Abdul Rahman (Sik)

SIK (KEDAH), 7 Okt (Malaysiaaktif) — Penduduk di Kampung Namek di sini mengalami kesulitan serius setiap kali hujan kerana ia  mengakibatkan satu-satunya jalan keluar dari kampung itu mengalami banjir.

Masalah bertambah kerana jalan tersebut turut digunakan sebagai jalan pintas oleh penduduk Kampung Charuk Damar dan Kampung Lubuk Bedil untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Namek, Salmiah Hassan, masalah banjir ini telah berlarutan sejak lebih dari 20 tahun lalu.

 

namek3

Setiausaha JKKK Kampung Namek, Puan Salmiah Hassan.

 

Beliau  berkata, banjir berlaku kerana tanah sawah terbiar di kampung berkenaan bertukar menjadi paya setiap kali hujan lebat. Selain itu, keadaan parit bersebelahan jalan yang terlalu sempit dan tidak diselenggarakan dengan baik memburukkan lagi keadaan.

Salmiah berkata, perkara ini telah pun dipanjangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) cawangan Batu Lima Sik. Berikutan itu, pada 5 Oktober lalu, seorang wakil dari JPS Negeri Kedah telah datang membuat tinjauan di kawasan sekitar jalan berkenaan.

 

20151007002659

 

Hasil tinjauan Malaysiaaktif ke jalan berkenaan bersama dengan seorang wakil penduduk, Haji Azmi Kassim mendapati kawasan sekitar jalan itu lebih rendah berbanding kawasan sekitar.

Menurut Haji Azmi, banjir di kawasan ini menjadi lebih kerap dan teruk sejak pembinaan Institut Kemahiran Mara Sik kerana kerja-kerja pembinaan mengakibatkan banyak kawasan paya lain terkesan.

Penduduk kampung berharap pihak berwajib dapat membina sistem perparitan yang lebih besar untuk mengalirkan air hujan ke Sungai Chepir berdekatan sebagai satu jalan penyelesaian tuntas kepada masalah ini.

Malaysiaaktif semalam cuba mendapatkan komen daripada Penolong Pegawai Daerah di Sik,Yazlan Sunardie Che Yahaya, tetapi beliau enggan mengulas dengan alasan pihak JPS sudah mengambil tindakan.

Sementara itu, penduduk kampung tersebut mendakwa mereka terus digugat masalah apabila limpahan air membanjiri jalan berkenaan.

 

 

Tinggalkan komen anda