Mantan Timbalan Ketua Pengarah SPRM Syor Peguam Negara Lantik Panel Khas Timbang Syor Hasil Siasatan
Datuk Seri Zakaria Jaffar yang bersara sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesyorkan agar Peguam Negara membentuk sebuah panel yang terdiri daripada wakil pelbagai badan untuk mempertimbangkan hasil siasatan yang bakal dikemukakan oleh suruhanjaya itu berkenaan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.
Kata beliau, ia penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap kes berprofil tinggi yang sedang disiasat oleh SPRM.
“Bagi pihak Peguam Negara, dicadangkan supaya melantik satu panel yang terdiri daripada seorang dari bekas Peguam Negara, seorang bekas hakim dan seorang wakli dari Majlis Peguam untuk mengkaji hasil siasatan kes ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Paluan Berundur sempena persaraannya di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.
Ini antara beberapa perkara disyorkan oleh beliau. Beliau yang bersara selepas 33 tahun berkhidmat berkata, Peguam Negara mempunyai kuasa melantik mana-mana pihak yang layak untuk membuat keputusan sama ada terdapat kes atau tidak bagi didakwa di mahkamah.
“Perkara ini pernah dilakukan semasa bekas Peguam Negara disiasat oleh SPRM empat tahun lalu. Saya yakin Ketua Pesuruhjaya akan bersetuju kerana beliau yang telah mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk kes yang melibatkan beliau dikaji oleh tiga orang hakim.
“Kes yang dimaksudkan juga dibentangkan dalam mesyuarat khas dihadiri oleh ahli-ahli lembaga dan jawatankuasa (panel bebas) yang memantau perjalanan SPRM,” kata beliau merujuk kepada lima badan bebas yang dibentuk untuk memantau SPRM sejak 2009. Selain itu, beliau juga mengesyorkan agar pasukan petugas khas yang dibentuk, melibatkan SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia, sebelum ini diaktifkan semula bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan berkesan.