
Oleh Aneta Ahmad (Kemaman)
KEMAMAN, 10 Okt (Malaysiaaktif) — Hadirin yang mengambil bahagian dalam Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Kemaman tengahari tadi dikejutkan apabila berlaku letupan gas daripada belon di hadapan pentas utama.
Kejadian tersebut berlaku pada kira-kira pukul 12 tengahari ketika kanak-kanak dari SK Kampung Tengah, Kuala Kemaman yang meluru ke depan untuk mendapatkan belon.
Letupan didakwa berlaku berikutan tindakan seorang petugas yang menggunakan pemetik api untuk memotong tali belon.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abdul Rahman, seramai empat orang pelajar dan seorang pemandu Majlis Perbandaran terkena letupan dan sambaran api gas.
Mereka kemudian segera dibawa dengan ambulans ke Klinik Kesihatan Kuala Kemaman untuk rawatan lanjut.
Terbaharu, Malaysiaaktif dimaklumkan dua orang mangsa sudah dibenarkan pulang, sementara tiga orang lagi terpaksa dimasukkan ke wad untuk rawatan luka terbakar darjah kedua (2nd Degree Burn) dan mereka kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.