Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sabah Perlukan 110,000 Tempat Taska Menjelang 2030

By 37 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Len (Sabah)

KOTA KINABALU, 6 Jul (MalaysiaAktif)– Sabah dijangka memerlukan kira-kira 110,000 tempat di taska menjelang 2030 bagi menampung keperluan sekitar 445,000 kanak-kanak berusia bawah empat tahun di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata Sabah kini berdepan cabaran kekurangan kemudahan penjagaan awal kanak-kanak apabila hanya kira-kira 230 taska berdaftar beroperasi di seluruh negeri.

“Sehingga kini 95 taska tidak berdaftar dikenal pasti beroperasi di Sabah dengan sebahagiannya masih dalam proses permohonan dan menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) merupakan syarat wajib bagi pendaftaran taska dan semua taska berdaftar perlu mematuhi keperluan tersebut.

“Penggunaan CCTV di taska berdaftar kini menjadi antara elemen penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara,” katanya ketika merasmikan penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Sabah di 1Borneo Hypermall, semalam.

Di samping itu, beliau juga menyeru ibu bapa supaya memilih taska berdaftar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak serta menegaskan keperluan mendesak untuk meningkatkan kapasiti penjagaan kanak-kanak di Sabah.

“Ibu bapa perlu sedar menghantar anak ke taska tidak berdaftar mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih besar kerana tiada pemantauan berkala dijalankan.

“Pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan keluarga, malah merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan Sabah,” katanya.

Menurutnya, isu penderaan kanak-kanak perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia boleh berlaku di mana-mana termasuk di rumah, namun taska berdaftar menawarkan perlindungan yang lebih baik melalui pemantauan serta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

“Penyelesaian perlu dicari untuk mengenal pasti punca berlakunya penderaan dan langkah pencegahan perlu terus diperkukuhkan,” ujarnya.

Turut hadir, Presiden Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS), Ivy Benjamin Botingon.

-RJ-

Tinggalkan komen anda