Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Pegawai Kanan Polis IPK Sabah Dituduh Salah Guna Kedudukan

By 12 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaaktif) — Seorang pegawai kanan polis dituduh di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM)  2009  kerana  menyalahgunakan kedudukannya bagi  membolehkan  syarikat anak saudaranya mendapat kontrak pembekalan makanan bernilai RM432,000 tahun lalu.

ACP Abd Radzak Abd Ghani, 54, dituduh secara rasuah menggunakan jawatannya sebagai Ketua Jabatan Logistik (kini dikenali sebagai Kontinjen Start Logistik) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, untuk memilih Syarikat Fulscale Development milik anak saudaranya, Sharial Taufan Nerawi, bagi mendapatkan tender membekal makanan kepada tahanan di lokap IPD Kota Kinabalu.

Abd Radzak dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Pejabat Pesuruhjaya Polis Sabah, IPK Sabah di Kota Kinabalu pada 1 April 2014 kira-kira pukul 11.30 pagi.

Tertuduh dituduh di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Hakim Indra Ayub. Abd  Radzak  didakwa  mengambil  bahagian  sebagai  ahli  Mesyuarat Penilaian dan Pemilihan Sebutharga dengan terlibat memilih Syarikat Fulscale Development untuk mendapatkan tender Membekal Catuan Makanan Bermasak dan Fresh Ration Kepada Orang-Orang Tahanan Di Lokap Kota  Kinabalu  selama  dua  tahun,  bermula 1 Mei 2014 hingga 30 April 2016, dengan  nilai anggaran kontrak RM432,000.

Pendakwaan dilakukan  oleh  Penolong Pesuruhjaya  SPRM Awang Samsul Baharam Bungso. menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM8,000 oleh seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Zahir Shah memohon deposit jaminan dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh seorang penduduk tempatan dan masih berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia.

Hakim Indra menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan deposit RM5,000 oleh seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 12 November 2015 manakala perbicaraan pada 10 Disember 2015.

 

Tinggalkan komen anda