Skip to main content
HomeSelangorViral

JKDM Guna Insinerator Lupus 262.45 Kilogram Dadah

By 12 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

SERDANG, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini mengambil keputusan untuk menggunakan sistem insinerator bagi melupuskan sebanyak 262.45 kilogram dadahbernilai  RM35.6 juta.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad memaklumkan jumlah dadah tersebut merupakan hasil rampasan sejak 2013 oleh Bahagian Penguatkuasaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM dan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur.

Beliau berkata dadah tersebut merangkumi 48.03kg methamphetamine, cathinone (103.61kg), ketamine (7.828kg) dan pseudoephedrine (2.982kg).

“Cathinone dan pseudoephedrine ini biasanya digunakan untuk membuat ubat, tetapi yang dirampas ini disyaki akan diubah dijadikan dadah,” katanya ketika ditemui media sebelum menyaksikan proses pelupusan di tapak insinerator Jabatan Pertanian, Serdang hari ini.

Khazali menegaskan pihaknya menggunakan kaedah pelupusan itu kerana prosesnya yang dilihat lebih mesra alam berbanding proses pelupusan biasa.

“Selain itu jumlah yang kita lupuskan kali ini agak besar jadi kita dapatkan kerjasama Jabatan Pertanian untuk menggunakan insinerator ini,” katanya.

“Dadah tersebut dibakar secara berperingkat dengan sekali pembakaran melibatkan 60kg dan mengambil masa selama sejam.”

Dalam perkembangan berkaitan, Khazali berkata seramai 26 pesalah telah dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatory sejak 2013.

“Pada 2013 bilangan kes yang didakwa ialah 53 dan 21 daripadanya sudah dijatuh hukum. Bagi 2014 sebanyak 24 kes sudah didakwa dan lima kes disabit kesalahan, manakala tahun ini 18 kes sedang berjalan,” katanya.

Sebelum ini, Cawangan Narkotik JKDM, JKDM KLIA dan JKDM Kuala Lumpur telah merampas 1,548.168kg dadah bernilai RM174.525 juta sejak 2013.

1,005.178kg dadah pelbagai jenis bernilai RM81.811 juta telah dirampas pada 2013, 434.654kg bernilai RM72.663 juta pada 2014 dan 108.337kg bernilai RM20.051 pada tahun ini hingga bulan lepas.

 

Tinggalkan komen anda