Skip to main content
Home

PM Gesa Penasihat Sains APEC Kongsi Kepakaran Tangani Jerebu

By 16 Oktober 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 15 Okt  — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa penasihat sains bagi negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) berkongsi kepakaran dan cadangan untuk mengatasi jerebu bermusim yang menjejaskan negara di Asia Tenggara.

Beliau berkata Malaysia terjejas teruk akibat keadaan itu sejak 18 tahun lepas dan terdapat keperluan untuk mengemukakan penyelesaian yang lebih baik terhadap masalah itu.

“Saya harap penasihat sains ini boleh menasihati tentang bagaimana kita boleh menangani dan mengekang (penggunaan) teknik tebang-dan-bakar (dalam pertanian), bagaimana untuk mengelak kebakaran tanah gambut, sama ada ia disengajakan atau disebabkan perubahan iklim.

“Jadi, saya amat berminat untuk mengetahui dapatan dan nasihat anda,” kata Najib ketika merasmikan Mesyuarat Ketiga Ketua Penasihat Sains dan Setara Ekonomi APEC di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid dan Sir Peter Gluckman, yang juga Ketua Penasihat Sains kepada perdana menteri New Zealand.

Najib berkata nasihat dan cadangan mereka berkemungkinan dikemukakan dalam Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat APEC yang dijadual bulan depan untuk dibincangkan selanjutnya.

Ucaptama beliau pada mesyuarat dua hari itu membawa tema ‘Membina Asas bagi Nasihat Saintifik Ke arah Ekonomi Terangkum bagi Dunia yang Lebih Baik.’

Perdana menteri menegaskan bahawa banyak cabaran yang digariskan dalam abad ke-21 – paling ketara perubahan iklim, keselamatan makanan dan air, tenaga, pembasmian kemiskinan, dan kesihatan – mempunyai dimensi saintifik yang semakin rumit.

“Cabaran ini tidak boleh diselesaikan oleh sebuah negara sahaja,” katanya, dan menambah, diplomasi dan kerjasama sains merupakan alat penting agar persefahaman bersama dapat digalakkan manakala hubungan antarabangsa pula ditambah baik.

Najib menarik perhatian bahawa mana-mana negara pun akan memerlukan nasihat teknologi dan saintifik, dan ini lebih-lebih lagi semasa berlakunya krisis serta bencana.

Mengambil usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 sebagai contoh, Najib berkata misi itu membabitkan kerjasama saintifik dan ketenteraan antarabangsa yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan 26 negara menghulurkan bantuan.

“Malaysia semestinyalah terhutang budi peranan kerajaan Australia sebagai peneraju dalam usaha pencarian yang rumit dan mencabar ini namun tidak kurang penting adalah sumber serta sokongan berterusan kerajaan China terhadap misi pencarian ini,” katanya.

Beliau berkata banjir buruk yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia tahun lepas dan insiden terbaru, gempa bumi di Sabah, menjurus kepada keperluan bagi respons saintifik dan teknologi untuk menangani bencana alam.

“Jelas bahawa sains dan teknologi sudah melaksanakan dan akan terus melaksanakan peranan utama dalam pengurangan risiko bencana berkaitan perubahan iklim, di masa depan,” katanya.

Najib berkata taksiran bahaya – magnitud, had masa dan anggaran kos – serta teknologi atau teknik yang diperlukan untuk menghalang atau mengurangkan impak adalah penting dalam membuat keputusan berdasarkan pengetahuan.

“Ia amat penting, justeru, mereka yang bertanggungjawab dalam menyediakan nasihat kepada kerajaan mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan dalam perkembangan saintifik yang terkini dalam pelbagai bidang.

“Mereka mesti mempunyai akses kepada pemikir terbaik dalam bidang sains dan teknologi untuk membentuk kerjasama dan mencari pendapat apabila perlu. Saya percaya ini adalah bahagian paling penting dalam menyatukan perspektif penasihat yang boleh digunakan dengan berkesan oleh kerajaan, terutama sekali semasa berlaku krisis,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda