Skip to main content
EkonomiHomeViral

933 Menara Telekomunikasi Tingkat Internet Luar Bandar

By 27 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) hari ini mengesahkan mereka telah membina 993 menara telekomunikasi sehingga September lepas bagi  meningkatkan akses kepada perkhidmatan telekomunikasi, terutama di kawasan luar bandar.

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari menjelaskan pihaknya telah mengambil inisiatif meningkatkan kelajuan internet empat kali ganda di kawasan terbabit.

“Dalam usaha itu, pihak kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah kerangka Pemberian Perkhidmatan Sejagat, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

“SKMM akan menambah baik infrastruktur telekomunikasi menerusi peruntukan RM1.2 bilion dalam Bajet 2016 termasuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar empat kali ganda dari lima Megabit sesaat kepada 20 Megabit sesaat.”

Jailani memaklumkan semua usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi itu telah menelan kos sebanyak RM 28.8 juta.

“Antara inisiatif tersebut termasuk membina enam Pusat Internet 1Malaysia, membina 43 WiFi Komuniti (dahulunya dikenali sebagai ‘Kampung Tanpa Wayar’ (KTW) dan membina tujuh menara telekomunikasi di mana dua lagi menara akan dibina dalam waktu terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jailani menegaskan SKMM akan menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu melalui media sosial berkenaan penutupan sekolah ekoran jerebu.

Beliau berkata ia akan disiasat apabila pihaknya menerima laporan penuh daripada Kementerian Pendidikan mengenai maklumat palsu itu.

“Saya percaya hari ini SKMM telah dihubungi oleh Kementerian Pendidikan mengenai perkara ini…sekiranya benda (maklumat) itu memang salah, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah akta sedia ada,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, SKMM memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu di media sosial kerana ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

 

Tinggalkan komen anda