Skip to main content
EkonomiHomeSabah

Jasa, Pengorbanan Warga Emas Sabah Diiktiraf

By 27 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

 OlehYahya Abdul Rajak (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Oktober 2015 (Malaysiaaktif) – Seramai 362 Warga Emas dari kawasan N.5 Tandek, Kota Marudu, Sabah menghadiri Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Sabah 2015.

Sambutan Warga Emas bagi tahun ini yang bertemakan “Sayang Kamu” lebih menjurus kepada lima objektif sambutan, seperti mana yang dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Haji Ahmad Ayid.

Ia merangkumi penghargaan serta peningkatan martabat diri warga emas melalui penglibatan dalam kegiatan sosial berpersatuan bersama sokongan kerajaan, pihak swasta dan organisasi luar.

Dalam ucapannya, Jainab mengucapkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak atas pembentangan bajet 2016 baru-baru ini yang memberikan peruntukan besar kepada kebajikan warga emas di negara ini.

Beliau menyambut baik inisiatif pelepasan cukai sehingga RM3000 untuk anak-anak yang menjaga kedua ibu bapa, bantuan bulanan RM300 kepada setiap warga emas dan penerusan  program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Dalam pada itu, Jainab turut menyeru masyarakat menyampaikan maklumat tentang warga emas bagi memudahkan agensi berwajib mengenal pasti dan mengemas kini data golongan itu di Sabah.

Sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Sabah ini tiga Kategori Anugerah Khas disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji  Juhar Datuk.

Anugerah Khas Kategori Berpasangan dianugerahkan kepada  Bekas Ketua Anak Negeri Porodong Magilin dan Ayun  Daang.

Penerima bagi Kategori Individu Lelaki ialah Mantan Ketua Masyarakat Cina Koh Chin Siong, 84.

Anugerah Khas Warga Emas Bagi Kategori Individu Perempuan diterima oleh Hajah Rosnah Yahya,75 , yang  merupakan wanita pertama di Kota Marudu yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Majlis dirasmikan oleh Tun Datuk Seri Panglima Haji  Juhar Datuk.

 

Tinggalkan komen anda