
Oleh Indera Putera & Wan Muhamad Zikri (Kangar)
KANGAR, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Memandangkan majoriti penduduk Perlis mempunyai kenderaan sendiri, pengangkutan awam kurang mendapat sambutan. Ini kerana jarak yang dekat untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain lebih mudah jika bermotosikal atau memandu kereta sendiri.
Walaupun hakikatnya merujuk kepada sesuatu yang praktikal, namun impak kepada kira-kira 400 pengusaha teksi di tujuh stesen teksi di negeri ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Ahli Jawatankuasa Koperasi Kereta Sewa/Teksi Perlis Berhad, Mustafa Harun memberitahu wartawan Malaysiaaktif Perlis baru-baru ini bahawa perubahan zaman punca dwi-impak ini, iaitu positif kepada penduduk tetapi negatif kepada pengusaha teksi.
“Dahulu, pendapat sehari banyak kerana di mana sahaja pasti ada penumpang, tetapi kini, dengan jumlah teksi yang bertambah, sehari kami hanya bergerak satu atau dua perjalanan sahaja,” katanya.
Sementara itu, pengusaha teksi, Mahmud Che Noh Meh berkata, kewujudan perkhidmatan MyBas juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengusaha teksi di Perlis.
Beliau berkata, jadual perjalanan MyBas pada setiap satu jam berbeza berbanding dahulu, di antara tiga hingga empat jam sekali. Namun demikian, MyBas juga sering kali dilihat jarang mempunyai penumpang.
Mengenai kesan kenaikan harga minyak, mereka berkata ianya tidak memberi kesan kerana kadar tambang dahulu dan kini berbeza.
“Apa yang pasti, setiap kediaman di Perlis mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kereta atau motorsikal, itulah sebab utama pengangkutan awam jarang mempunyai penumpang di negeri ini”, tambah mereka.