
Oleh Mohd Zihan Zari (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 25 Nov (Malaysiaaktif) — Limpahan air disebabkan hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan, termasuk Mukim Sungai Petani dan Sidam Kiri petang kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kuala Muda, Lt Muda (PA) Azahar Ahmad, berkata, banjir disebabkan kegagalan sistem perparitan di beberapa kawasan.
Menurut Azhar, seramai 30 anggota JPAM daerah Kuala Muda diketuai oleh Sarjan (PA) Hasrul Mohd Heary Halim bersama anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat membantu mangsa banjir berpindah ke tempat yang selamat.
Sebanyak dua buah pusat pemindahan banjir dibuka pada pukul 11.30 malam. Seramai 11 keluarga melibatkan 50 orang mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswathy, manakala 60 mangsa daripada 11 keluarga di pindahkan ke Dewan Kampung Jerung.
Bagaimana pun, pusat pemindahan di Dewan SRJK (T) Saraswathy ditutup kira-kira pukul 7.30 pagi manakala Dewan Kampung Jerung pada pukul 7.00 petang.
Semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah air surut sepenuhnya. Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Azhar menasihatkan penduduk supaya berjaga-jaga jika paras air melebihi amaran dan segera berpindah sekiranya diarahkan.