Skip to main content
HomeViral

Perjumpaan Dengan Jacel, Izzah Dipanggil Bukit Aman

By 25 November 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Malaysiaaktif) –Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini mengesahkan beliau dipanggil polis untuk memberikan kenyataan berikutan pertemuannya dengan Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Nurul Izzah memaklumkan beliau akan menangani isu itu dengan profesional berkaitan penyiasatan pihak berkuasa terbabit.

“Saya mendapat panggilan daripada Bukit Aman  dan kemungkinan esok tarikh untuk pertemuan dengan pihak polis.

“Saya akan hadapinya dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tertentu yang memfitnah beliau berikutan perjumpaan tempoh hari.

“Saya akan berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan mahkamah, khusus terhadap individu dan pemimpin yang telah kaitkan saya dengan tindak tanduk mengkhianati Malaysia,” katanya.

Sebelum ini Ahli Parlimen PKR-Lembah Pantai itu dilaporkan akan dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas gambarnya bersama anak sulung ketua pencerobohan Lahad Datu di Sabah, Jacel Kiram tersebar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tindakan Izzah itu bertentangan dengan sumpah ahli Parlimen yang melindungi dan menegakkan kedaulatan negara.

 

Tinggalkan komen anda