Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePulau PinangViral

Pecat Ahlinya Dari JKKK, PAS Kini Pembangkang Kerajaan DAP

By 19 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Malaysiaaktif) – PAS hari ini mengesahkan mereka akan bertindak sebagai pembangkang di Pulau Pinang susulan keputusan kerajaan negeri memecat 300 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diangggotai ahli parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu tidak mengejutkan pihaknya kerana hubungan yang semakin dingin antara PAS dan DAP.

“Buat masa ini kami tidak ada pilihan selain bertindak menjadi pembangkang dalam kerajaan DAP.

“Umno pun kami lawan dan kami juga pembangkang yang matang dan berprinsip. Itu beza antara kami dengan pembangkang yang lain. Kami pembangkang kepada bekas rakan kami,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Takiyuddin turut menasihatkan ahlinya supaya tidak melepaskan jawatan sebagai anggota JKKK sehingga mereka tidak dikenakan tindakan rasmi oleh kerajaan negeri itu.

Beliau juga menyifatkan pemecatan itu sebagai menghairankan kerana DAP juga tidak mempunyai ahli yang cukup untuk memenuhi jawatan kosong itu.

“Bukan 300 orang tetapi lebih kurang 1,083 ahli Pas yang menjadi JKKK. Kalau dipecat 300 ada lagi 600 lebih. Ahli-ahli Pas diminta mengisi tempat-tempat kosong yang mana parti PKR dan DAP tidak ada orang,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengesahkan mereka sudah memecat semua ahli Pas yang memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri itu.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata ahli Pas di Kepala Batas bukan meletak jawatan seperti didakwa sebaliknya mereka sudah dipecat sebelum ini.

 

Tinggalkan komen anda