Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

TPM: Syarat Tambahan Abu Sayyaf Sukar Dipenuhi

By 19 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapha (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Tindakan Kumpulan Abu Sayyaf mengenakan syarat tambahan yang sukar dipenuhi perunding menyebabkan tebusan warga Malaysia, Bernard Then Ted Fen, 39 dibunuh.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan kesal dengan keadaan itu kerana pihak berkenaan telah berjanji dengan perunding untuk melepaskan kedua-duanya, tetapi mereka meletakkan beberapa syarat tambahan yang tidak dapat dipenuhi.

Tambahnya, “Malaysia telah berusaha sedaya-upaya untuk melepaskan kedua-dua mangsa, malangnya apa yang telah berlaku ialah sesuatu yang amat mendukacitakan”.

Then merupakan antara dua mangsa yang diculik pada 14 Mei lalu oleh empat lelaki bersenjata yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan dalam kejadian 7.45 malam itu.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa Thien Nyuk Fun, 50 yang juga pengurus restoran berkenaan dibebaskan kumpulan penculik dari Selatan Filipina itu melalui rundingan antara kerajaan Malaysia bersama kumpulan itu pada 8 Nov lalu.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berhubung dengan keluarga mangsa dan akan mengusahakan mayat itu untuk dihantar kepada keluarga agar dapat dikebumikan mengikut upacara keagamaan.

Namun begitu tegasnya, “walaupun media antarabangsa menyatakan kepala mangsa ditemui, tetapi pihak berkuasa Filipina secara rasmi belum mengesahkan sama ada kepala itu ialah mangsa itu.”

“Walau bagaimanapun, kita terus menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dan semua perunding. Semua maklumat terus disalurkan ke Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan selanjutnya.”

“Kita menghormati kedaulatan kerajaan Filipina dan berharap agar mereka melakukan tindakan berdasarkan amalan antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, menandatangani Penjanjian Mencegah dan Membanteras Jenayah Berat dengan Amerika Syarikat di sini pagi ini.

 

Tinggalkan komen anda