Skip to main content
EkonomiGlobalHomeViral

Pemimpin ASEAN Tandatangani Deklarasi Bentuk Komuniti ASEAN

By 22 November 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 22 Nov  — Pemimpin 10 negara Asia Tenggara hari ini menandatangani deklarasi bersejarah bagi pembentukan Komuniti ASEAN menjelang 31 Dis 2015 yang menggariskan ketetapan untuk meningkatkan integrasi di rantau yang mempunyai populasi lebih 600 juta.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku pengerusi ASEAN 2015, disertai pemimpin sembilan lagi negara Asia Tenggara dalam menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi Pembentukan Komuniti ASEAN.

Mereka juga menandatangani ‘Deklarasi Kuala Lumpur bagi ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan’, dokumen yang menggariskan hala tuju komuniti itu untuk 10 tahun akan datang.

Selepas majlis pemeteraian itu, pemimpin berkenaan memuktamadkan upacara itu dengan membuat satu pukulan pada dram secara serentak, melambangkan keazaman ASEAN ke arah menjadi satu komuniti.

Selain Najib, dokumen itu ditandatangani oleh Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S. Aquino, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung.

Ditubuhkan selepas 48 kewujudan perkumpulan itu, Komuniti ASEAN berteraskan tiga tonggak iaitu Komuniti Politik dan Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN.

Dalam ucapan pada upacara itu, Najib berkata terlalu banyak faedah yang bakal diraih daripada komuniti berkenaan dari segi ekonomi yang akan turut memanfaatkan kehidupan harian semua warganya.

Tetapi, katanya, gagasan Komuniti ASEAN sebenarnya melangkaui semua itu.

“Ia juga mengenai kita semua sebagai ASEAN, mengiktiraf bahawa sesuatu yang istimewa mengikat kita, dan menjadikan semua warga kita merasakan ASEAN sebagai denyut nadi mereka,” katanya.

Najib mengambil perhatian bahawa Cara ASEAN telah mengemudi perkumpulan serantau ini dan akan terus menjadi kompasnya dalam usaha untuk mencapai kesepaduan politik, integrasi ekonomi lebih padu, memikul tanggungjawab sosial dan menjadi ASEAN berorientasikan rakyat, berpaksikan rakyat dan berasaskan peraturan yang sebenarnya.

Diunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) ASEAN akan mencecah US$4.7 trilion (RM20 trilion) menjelang 2020, dan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia seawal 2030.

Najib berkata secara amali, rantau ini telah menghapuskan hampir semua halangan tarif di bawah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN, menjadikan industri pembuatan lebih kompetitif dalam pasaran global dan mengurangkan kos untuk semua.

“Kita kini perlu memastikan yang kita mewujudkan pasaran tunggal dan berasaskan pengeluaran dalam erti kata sebenar, dengan pergerakan lebih bebas barangan dan perkhidmatan,” katanya dengan memberikan contoh akan kelebihan bagi piawaian seragam dan peningkatan kesalinghubungan bagi rantau ini.

Perdana Menteri turut menyusuri peranan bersejarah dimainkan ayahanda beliau, perdana menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein, dalam penubuhan ASEAN pada 1967.

Najib berkata beliau hanya berumur 15 tahun ketika ayahandanya almarhum Tun Razak, bersama-sama dengan Adam Malik dari Indonesia, Narciso R. Ramos dari Filipina, S. Rajaratnam dari Singapura dan Thanat Khoman dari Thailand menubuhkan ASEAN. Mereka ketika itu ialah Menteri Luar.

Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam menyertai perkumpulan itu pada peringkat berbeza kemudiannya.

“Malah pada usia itu, saya sudah mempunyai kesedaran bahawa (penubuhan ASEAN) mewakili perubahan penting dalam cara negara-negara di rantau ini dalam berurusan antara satu sama lain. Bagaimanapun, kita mungkin kurang arif akan betapa bersejarah dan pentingnya saat itu,” katanya.

Idea bagi pembentukan Komuniti ASEAN diilhamkan di Bali pada 2003.

Dengan pembentukan Komuniti ini, Najib berkata: “Kita kini telah meningkatkan tanda aras dan jangkaan rakyat kita, dan kita bertanggungjawab untuk memenuhi aspirasi-aspirasi generasi muda kita, dan generasi akan datang.”

Perdana Menteri menegaskan pemimpin ASEAN perlu meneruskan usaha yang dirumuskan Deklarasi Bangkok pada 1967 yang menandakan kelahiran ASEAN, dengan mengeratkan ikatan menerusi semangat setiakawan dan kerjasama.

“Ini akan dilakukan menerusi usaha bersama dan juga pengorbanan untuk memastikan rakyat kita dan generasi akan datang kekal menikmati keamanan, kebebasan dan kemakmuran.

“Komuniti ASEAN merupakan pencapaian penting dalam perjalanan untuk mencapai matlamat berkenaan,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda