Skip to main content
EkonomiHomeViral

Little India Di Brickfields ‘Teruja’ Ingin Sambut Modi Esok

By 22 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 22 Nov  — Esok, syurga membeli-belah untuk komuniti India tempatan yang sentiasa sibuk iaitu ‘Little India’ di Brickfields di sini sudah bersedia untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Kurang daripada 24 jam, kemuncak lawatan sulungnya selain Sidang Kemuncak ASEAN-India dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10, ialah perasmian Gerbang Torana di Little India.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi India berkata persiapan untuk perasmian itu yang dijadualkan tengah hari esok oleh Modi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sedang giat dijalankan.

Beliau berkata persiapan termasuk program dan latihan tarian serta perkara-perkara berkaitan keselamatan berjalan dengan lancar.

Gerbang Torana dihadiahkan oleh kerajaan India sebagai lambang persahabatan kedua-dua negara.

Modi, yang tiba di ibu negara semalam akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Najib sebelum acara perasmian itu.

Tinjauan Bernama mendapati pemilik kedai giat membersihkan premis mereka, dan ada yang mengecat bangunan untuk rupa yang lebih segar dan kelihatan baharu.

Sementara itu, pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga membersihkan dan mencantikkan Little India, bersempena dengan lawatan perdana menteri India yang dijangka menarik ribuan rakyat Malaysia ke situ.

Raptai untuk lawatan Modi dijalankan hari ini.

Orang ramai juga dilihat menunggu selama berjam-jam kedatangan Modi kerana begitu teruja dengan persiapan dan raptai sehingga menyangkakan acara itu diadakan hari ini.

Sheela Mayappan, 45, yang hadir untuk melihat persiapan untuk acara esok itu berkata lawatan Modi yang dilantik sebagai perdana menteri India pada Mei 2014 itu penting kerana ia akan terus mengukuhkan hubungan antara dua negara.

“Ini merupakan lawatan beliau (Modi) yang pertama ke negara ini, kami mendengar banyak cerita positif mengenai perkara yang beliau lakukan di India dan saya teruja untuk melihat beliau secara dekat esok,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagi suri rumah, Madna Malla, 65, keterujaan dan semangat yang ditunjukkan orang ramai terhadap lawatan Modi mencerminkan status ikonik pemimpin India itu yang tersebar ke serata dunia.

“Anda boleh melihat, kehadiran ramai orang daripada pelbagai latar belakang untuk melihat persiapan saat akhir menunjukkan mereka ingin melihat Modi secara dekat,” katanya.

Seorang pekerja imigran India, N. Mathimarimuthu, 32, berkata kedatangan Modi di Malaysia merupakan peristiwa penting dalam kerjasama India-Malaysia.

Pekerja binaan itu berkata beliau ternanti-nanti untuk bertemu Modi sejak pemimpin itu menjadi perdana menteri.

Pemilik kedai bunga, S. Jeyalakshmi berkata semua pemilik kedai di Little India gementar untuk berjumpa Modi.

“Lawatannya ibarat satu festival yang akan mewarnai Brickfields,” katanya.

Beribu rakyat dijangka akan membanjiri Little India untuk acara pembukaan gerbang itu esok.

Hari ini, Modi berucap pada majlis ‘Malaysia Welcomes Modi’ di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC) di Mines Resort City di Seri Kembangan.

Beliau juga akan melawat Kuil Ramakrishna di Petaling Jaya dan akan merasmikan patung Swami Vivekananda sebelum menamatkan lawatannya dengan mengunjungi Kuil Subramaniyar di Batu Caves.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda