Skip to main content
HomeViral

Tindakan Ke Atas Penghisap Vape Di Tempat Larangan

By 26 November 2015Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan mengesahkan pengguna vape atau rokok elektronik (e-rokok) akan dikenakan tindakan sekiranya mereka menghisap alat tersebut di tempat larangan sebaik sahaja peraturan di bawah Akta Kawalan Makanan ditambah.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menjelaskan terdapat beberapa kajian dari luar negara mengatakan vape lebih selamat daripada rokok namun kesan jangka panjang masih belum dipastikan.

“Akta Kawalan Makanan sedang usaha nak tambah peraturan supaya definisi rokok termasuk wap. Itu akan kita buat.

“Bila peraturan ditandatangan, maka jadi peraturan. Maka vape tak boleh hisap di kawasan larangan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata pihaknya juga masih mengambil pelbagai inisiatif untuk mengkaji bahan-bahan lain selain nikotin untuk mengetahui lebih lanjut tentang tahap bahaya kepada para pengguna.

Beliau turut memaklumkan Jawatankuasa Khas yang diwujudkan tempoh hari telah diberi tugas khas untuk mengkaji laporan rokok elektronik yang dijalankan di seluruh dunia.

“Nikotin adalah bahan yang boleh sebab ketagihan dan kebergantungan, KKM sedang kaji peruntukan perundangan yang sesuai untuk bendung masalah ini dan bincang.

“Sekarang nikotin adalah racun kelas C di bawah Akta Racun,” katanya lagi.

Sebelum ini, dilaporkan 20 universiti awam bersetuju agar penggunaan vape atau rokok elektronik diharamkan di kampus masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh memaklumkan perkara itu dipersetujui bersama oleh Naib-naib Canselor di 20 universiti awam berkenaan yang bermesyuarat Jumaat lepas.

 

Tinggalkan komen anda