Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Operasi Bersepadu Pengemis Dan Kutu Rayau Kota Tinggi

By 26 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Nor Adilah Abdullah (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 26 November (MalaysiaAktif) — Dua kawasan disasarkan semalam dalam operasi bersepadu pengemis dan kutu rayau yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama enam agensi lain. Kawasan terbabit ialah bandar Kota Tinggi dan Pasar Malam Taman Kota Jaya.

Operasi yang bermula pada pukul 4.30 petang sehingga pukul 7.00 malam itu dipecahkan kepada dua kumpulan yang bergerak ke dua kawasan terbabit.

Dalam operasi yang dijalankan di pasar malam anggota penguat kuasa turut mengesan kehadiran peminta derma bagi tabung masjid serta dua warga emas OKU yang meminta derma di kawasan tersebut.

 

12309241_10206434270948626_1024240540_n

 

Meskipun mempunyai ‘surat kebenaran’ daripada pihak berkenaan, peminta derma tabung masjid dari Johor Bahru itu dilihat meragukan. Mereka kemudiannya diserahkan kepada pegawai Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk siasat lanjut dan sementara yang lain diarahkan supaya beredar dan tidak menjalankan aktiviti tersebut di kawasan itu.

Dua lelaki OKU (masalah penglihatan) dari Johor Bahru yang meminta derma dengan memainkan alat muzik dinasihatkan oleh pegawai penguat kuasa agar tidak mengulangi aktiviti tersebut di kawasan itu lagi.

Menurut Pegawai JKM Daerah Kota Tinggi, Mohd Hashir Mohd Kamel, operasi itu bertindak secara serampang dua mata di mana setiap agensi mempunyai peranan dan tugasan membabitkan penguatkuasaan masing-masing.

Beliau berkata, “Tujuan operasi ini dijalankan adalah lebih kepada hendak membanteras seiring dengan objektif JKM mengurangkan dan membasmi kategori pengemis ini.

“Kita bukan mahu menyekat mereka mencari makan dan menahan golongan tersebut semata-mata, tetapi sebenarnya lebih kepada hendak membantu mereka. “Contohnya Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menyanyi untuk mendapatkan wang adakah patut mereka buat seperti itu. JKM ada elaun yang diberikan buat golongan tersebut malah mereka ini sudah pun menerima elaun tersebut.

“Kita mahu kelangsungan hidup mereka menjadi lebih baik lebih-lebih lagi selepas ditempatkan di pusat yang disediakan JKM dengan pelbagai aktiviti serta program yang dapat menjana pendapatan,” katanya.

Agensi-agensi yang menyertai operasi sepadu ini termasuk Polis Ibu Pejabat Daerah Kota Tinggi, Pejabat Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan pasukan Rela.

Mohd Hashir berkata operasi itu akan diteruskan lagi dan pihaknya akan menjalankan secara berkala selepas ini

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda