Oleh Kenny Thomas (Sabah)
TENOM, 26 Nov (Malaysiaktif) – Empat pusat pemindahan mangsa banjir yang melanda daerah Tenom semalam ditutup pada pukul 10.30 pagi tadi setelah keadaan kembali reda.
Pusat-pusat tersebut di Kampung Ponontoman, Kampung Labut, Kampung Labut 2 dan Kampung Lalandang. Dua lagi pusat di Kampung Pantongan Saga dan Kampung Mandalom Lama ditutup pada pukul 2.30 petang tadi. Kesemua 541 orang mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Namun demikian, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Dan Masyarakat Tenom akan terus menyalurkan bantuan makanan kepada mereka.
Sementara itu, bacaan paras air Sungai Padas di Tenom pada pukul 3.00 petang mencatatkan 176.15 meter (paras waspada) dan cuaca di Tenom adalah baik. Pusat Kawalan Operasi Bencana Tenom telah ditutup pada pukul 5.00 petang tadi.
Hujan sejak Selasa lepas secara berterusan dan kadang kala lebat menyebabkan banjir di beberapa buah kampung di Daerah Tenom semalam.
Setakat pukul 4.00 petang bacaan tolok lurus berada pada tahap amaran, iaitu 176.98 meter, menyebabkan seramai 468 penduduk kampung dipindahkan ke beberapa pusat perpindahan sementara.
Berdasarkan rekod dari Jabatan Kebajikan Tenom, seramai 53 keluarga melibatkan 152 orang penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Ponontomon, sementara 34 keluarga dengan seramai 103 orang ke pusat pemindahan Labut 1.
Sementara itu, Pusat Pemindahan Labut 2 menempatkan 51 keluarga membabitkan 193 orang dan 20 orang daripada empat keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Lalandang.
Bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan diagihkan kepada semua mangsa yang dipindahkan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Tenom yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan, mengerahkan semua agensi kerajaan dalam usaha mengkoordinasi tindakan menyelamat mangsa banjir.
Penduduk kampung dan orang ramai di sekitar daerah Tenom diminta berjaga-jaga dan berpindah ke pusat pemindahan untuk memudahkan proses penghantaran bantuan makanan.
Mereka juga dinasihati berpindah ke tempat lebih selamat apabila terdapat tanda-tanda banjir dengan membawa dokumen penting, termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan orang ramai boleh menghubungi terus ke Bilik Gerakan Banjir Tenom di talian 087-735477 untuk mengetahui perkembangan.