Skip to main content
Berita TempatanEkonomiSabah

184 Projek Bernilai Rm8.1 Bilion Diluluskan MIDA Di Sabah

By 9 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus (Sabah)

 KOTA KINABALU, 9 Disember 2015 (Malaysiaktif) –? Para pelabur dan usahawan di negeri ini disarankan mengambil peluang dengan insentif yang telah diumumkan pada Bajet 2015 dan 2016.

Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah berkata usahawan perlu pantas merebut peluang, seperti Bantuan Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF), Insentif Percukaian Baru, Skim Jaminan Modal Kerja untuk Industri Kecil dan Sederhana dan pengecualian duti import di antara 5% hingga 30% terhadap 90 item dalam sektor pembuatan.

Katanya, Sabah mempunyai potensi yang sangat besar kerana dikurniakan kepelbagaian sumber, seperti pertumbuhan dalam sektor pembuatan terutama dalam pengeluaran produk nilai tambah dan akhir yang tinggi dalam minyak sawit dan sektor minyak dan gas.

Menurut Raymond, pihak industri digesa meneroka peluang-peluang baru seperti bidang teknologi komunikasi, agro bioteknologi, teknologi nano dan teknologi hijau.

Jelasnya, kerjasama erat di antara semua pihak seperti agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pemain industri dan pihak swasta diperlukan untuk menjamin pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Mengenai Insentif Baru di bawah Bajet 2015 dan 2016 anjuran bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), pagi tadi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Phang Ah Tong berkata seminar itu memberi pendedahan kepada hampir 200 orang peserta mengenai bantuan serta insentif yang telah disediakan oleh kerajaan kepada pihak industri di samping membuka ruang kerjasama bagi meneroka peluang-peluang baru di dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan.

“Sehingga September 2015, MIDA  telah meluluskan geran DISF sebanyak RM756.4 juta untuk 184 projek bernilai RM8.1 bilion.

“Saya menyeru syarikat-syarikat di Sabah memohon dana DISF untuk membantu mereka lebih aktif dan berdaya saing,” katanya.

 

Tinggalkan komen anda