Skip to main content
HomeViral

Sharifah Amani, Farah Ann Terima Anugerah Ikon Wanita Muda 2015

By 10 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri (PWTC)

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Malaysiaaktif) — Ikon Wanita Muda 2015 telah dianugerahkan kepada pelakon terkenal tanah air, Sharifah Amani Syed Zainal Rasyid dan atlet gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Anugerah tersebut disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pelakon filem ‘Sepet’ dan ‘Muallaf’ yang berbaju kurung songket merah jambu menyifatkan anugerah tersebut sebagai platform untuk dirinya menggunakan bakat seni yang ada bagi mendekati golongan wanita muda.

“Kita perlu ubah pemikiran wanita muda yang saya lihat kini dianggap masih ‘dalam tempurung’…saya nak sangat wanita muda Melayu keluar terokai dunia dan merasa nikmat hidup.

“Bukan selepas habis sekolah dan kolej, kita hanya sekadar menjadi ibu, sebaliknya perlu punyai pelajaran dan berfikiran luas,” kata Sharifah Amani, 29, kepada pemberita selepas menerima anugerah itu bagi kategori Seni.

Sementara itu, Farah Ann, 21, penerima dua pingat emas pada Sukan SEA Jun lepas di Singapura berkata anugerah itu merupakan pembakar semangat untuknya melangkah lebih jauh dalam bidang sukan selain memberi inspirasi kepada wanita muda lain.

Selain itu, penuntut Universiti Monash itu turut menggesa kerajaan untuk memberi perhatian khusus kepada golongan wanita muda memandangkan mereka juga adalah penggerak kepada ekonomi negara.

Turut menerima anugerah berkenaan, usahawan baju dan kasut, Nur Hidayah Hassan dan Dr Nur Ashiela Md Suhud bagi kategori kemasyarakatan, manakala anugerah khas ikon diberikan kepada atlet paralimpik negara, Noorizah Rahim.

 

Tinggalkan komen anda