Skip to main content
EkonomiHomeViral

371 Kereta Klon Dirampas Sejak November – JPJ

By 7 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Malaysiaaktif) –Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berpendapat kereta klon yang dijual serata negara akan merugikan pendapatan kerajaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad memaklumkan sejak November 2014 sehingga kini sebanyak 371 kereta yang dibawa masuk dari negara jiran berjaya dirampas selepas didapati diklon dan dijual oleh sindiket kepada orang ramai.

Beliau menjelaskan pembeli mengetahui status kereta itu sebagai klon namun tetap membelinya kerana keinginan menggunakan kenderaan mewah.

“Siasatan yang dijalankan mendapati sekiranya ada sebuah kereta ditahan, maka dipercayai ada empat buah lagi kenderaan sama di atas jalan raya sekarang.

“Biasanya kenderaan ini dijual dengan harga lebih murah iaitu kurang 50 peratus daripada harga pasaran. Ini adalah modus operandi sindiket supaya pembelian tertarik untuk memilikinya,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis penghargaan anggota yang menyertai Operasi Banteras Kereta Klon di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail berkata kerjasama penuh antara pihaknya dan Suruhanjaya pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) perlu kerana sindiket haram tersebut membabitkan beberapa agensi lain.

Jelasnya, terdapat beberapa kereta yang dieksport secara haram dari Singapura dan dijual di sini.

“Taktik sindiket biasanya akan membawa masuk kenderaan yang mencecah usia hampir lima tahun dan apabila tiba di sini kenderaan terbabit akan dijual.

“Segala dokumen yang digunakan akan dipalsukan termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa bimbang terhadap pemilik kereta tertentu kerana sekiranya mereka terlibat dengan kemalangan, pemilik tersebut tidak boleh membuat apa-apa tuntutan.

“Antara model kenderaan yang popular adalah jenis Honda Jazz, Oddysey, Stream, Civic, Alphard selain Mercedes Benz dan BMW.

“Bagi mengatasi masalah ini pihak berkuasa di sempadan akan menggunakan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) iaitu semua kenderaan dari negara asing akan didaftarkan di mana semua kemasukan mesti membayar cukai mulai pertengahan tahun depan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya lagi.

Sebelum ini, kegiatan penipuan menggunakan dokumen peribadi pemilik kenderaan bagi menukar hak milik kenderaan yang diklon berjaya dibongkar JPJ.

Ia berikutan JPJ telah mengesan dua jenis kenderaan yang sama dan memiliki nombor casis serupa tetapi mempunyai nombor pendaftaran berbeza.

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda