
Oleh Faris Fuad (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan mengesahkan akta baharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan Parlimen minggu lepas tidak akan dilaksanakan ke atas pengkritiknya dan ahli politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata akta tersebut bertujuan bagi membanteras sebarang aktiviti pencerobohan yang menggugat keselamatan negara.
Beliau memaklumkan akta itu akan digunakan ke atas pengganas, termasuk individu yang bersubahat dengan golongan tersebut.
“Saya tidak merasakan akta berkenaan akan digunakan kepada mereka yang berbeza pendapat dan ahli politik melainkan mereka merupakan pengganas.
“Kita perlu lebih berhati-hati, preventif dan akta berkenaan perlu untuk membolehkan zon keselamatan dapat diisytiharkan bagi menguatkuasakan perintah berkurung yang mana musuh adalah ‘non-state enemy’ yang bukannya negara dan tidak tertakluk di bawah undang-undang,” katanya ketika ditemui media selepas berucap dalam majlis sambutan Hari Hak Asasi Manusia di Hotel Renaissance hari ini.
Paul berpendapat sebarang akta yang diluluskan pihaknya perlu mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.
Tambahnya lagi, kepercayaan tersebut boleh diperoleh sekiranya kerajaan menggunakan akta itu secara rasional bagi menjamin keselamatan mereka.
“Mana-mana akta yang diluluskan boleh disalahgunakan dan saya percaya kerajaan perlu mendapatkan kepercayaan tersebut daripada rakyat.
“Jadi defisit kepercayaan perlu dikurangkan dan ia merupakan sesuatu yang perlu diberikan keutamaan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mempunyai tujuan politik atau untuk memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan undang-undang yang diluluskan itu bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan dari segi menjaga keselamatan rakyat negara ini secara keseluruhannya.