Skip to main content
EkonomiHomeRencana & PendapatViral

Ikhtiar Terakhir Muhyiddin Malam Ini Di Kampung Baru?

By 7 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Apakah pada malam ini timbalan presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempertaruhkan segala-galanya apabila memutus untuk menyuarakan segala yang terbendung  dalam hatinya?

Sesetengah pihak meramalkan bahawa beliau mengambil risiko dipecat daripada jawatannya berikutan tindakan mengadakan perhimpunan di Kampung Baru untuk bercakap tentang isu-isu yang menimbulkan perbezaan di antara beliau dan presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pandangan tersebut turut disuarakan oleh ketua bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah yang menyifatkan tindakan Muhyiddin sebagai usaha terakhir beliau menjelang perhimpunan agung UMNO minggu ini.

Forum yang akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman itu juga dijangka membabitkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan naib presiden UMNO Datuk Shafie Apdal.

Ini kali pertama ketiga-tiga tokoh tersebut muncul bersama dalam satu ceramah.

Bagi para pemerhati, dalam politik ketepatan waktu untuk bertindak amat penting. Justeru itu apa yang bakal dilakukan oleh ketiga-tiga mereka boleh diandaikan sebagai ikhtiar terakhir untuk cuba memalukan Najib sebelum perhimpunan agung bermula, selain menghantar isyarat tertentu kepada seluruh perwakilan.

Muhyiddin yang digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai dikatakan kecewa kerana tidak dibenarkan untuk berucap semasa perhimpunan agung UMNO yang akan bermula pada Khamis ini. Mengikut tradisi, timbalan presiden menyampaikan ucapan dasar pada majlis pembukaan ketiga-tiga sayap UMNO, selain menyampaikan ucapan penggulungan pada akhir perhimpunan.

Perhimpunan di Kampung Baru ini merupakan kali pertama Muhyiddin membawa isu-isu berhubung beliau dan Najib ke luar arena dan saluran parti dan jika beliau tidak berhati-hati tindakan disiplin boleh dikenakan.

Sejak kebelakangan ini sudah kedengaran suara-suara yang mendesak Muhyiddin supaya meletakkan jawatan, termasuk gesaan terbaharu daripada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, sekiranya beliau tidak berpuas hati.

Bagaimana pun, ada juga yang berpendapat berbeza. Mereka berkata forum malam ini hanya satu cara Muhyiddin menunjukkan bahawa beliau akan mencabar Najib untuk jawatan presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Jika benar apa yang mereka ramalkan, mungkin beliau tidak akan melakukan sesuatu yang melampau kerana semestinya beliau akan ingin terus memegang jawatan nombor dua dalam UMNO.

 

Tinggalkan komen anda