Skip to main content
Berita TempatanPerak

Bantuan Persekolahan Sempena Program ‘Bantu Kami Ke Sekolah’

By 7 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan
 Oleh Siti Zuraida binti Md Nor Aidi (Lumut)

SERI MANJUNG, 7 Dis (Malaysiaaktif) — Kira-kira 800 pelajar di Kawasan Parlimen Lumut menerima bantuan peralatan persekolahan pada program “Bantu Kami Ke Sekolah” yang berlangsung di sini semalam.

Bantuan berjumlah hampir RM1 juta ringgit ini merupakan sumbangan terkumpul ihsan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU), KPerak, Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) dan lain-lain.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, inisiatif tersebut bagi membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan yang sebelum ini terpaksa pergi ke Ipoh untuk mendapatkan bantuan yang disediakan pelbagai pihak sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) masing-masing.

Beliau berharap agar program ini dilaksanakan setiap tahun oleh semua daerah di negeri Perak dengan kerjasama pihak Ahli Dewan Undangan Negeri, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pemimpin masyarakat.

Program ‘Bantu Kami Ke Sekolah’ pada dasarnya mengumpulkan semua dana sumbangan melalui satu saluran sama ada daripada pihak kerajaan mahu pun swasta.

Zambry berkata program yang diperkenalkan pada 2010 dengan bantuan kepada seramai 130 orang pelajar, kini mencecah hingga 5,000 orang.

Lebih 1,000 orang hadir pada majlis yang diadakan di Dewan EMV Manjung ini.

 

Tinggalkan komen anda