Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomeSabah

Sabah Menyumbang 10 Peratus Pengeluaran Minyak Negara

By 8 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Asmidar Zainol & Jeffren Malaning (Sabah)

 KOTA KINABALU, 8 Dis (Malaysiaktif) –? Dengan kapasiti 12 telaga minyak, empat medan gas aktif serta 41 bidang minyak dan 47 bidang gas yang ditemui setakat Ogos 2014, pengeluaran minyak mentah dijangka akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata sehingga kini terdapat 28 buah syarikat Kontrak Perkongsian Produk yang aktif diterajui 15 buah syarikat.

Sabah menghasilkan 220,000 tong minyak dalam sehari dan ia merupakan 10 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak negara iaitu 557,000 tong sehari.

“Syarikat Petronas dan Shell bersama-sama dengan beberapa syarikat cari gali minyak antarabangsa telah melabur dalam usaha sama penerokaan laut dalam dan luar pesisir pantai Sabah yang akan melonjak sektor ke hadapan.

“Terdapat keperluan mendesak untuk mengkaji kapasiti dan keupayaan tenaga kerja bagi menyokong pertumbuhan berterusan dalam sektor minyak dan gas.

“Kerajaan sentiasa berkerja rapat dengan pihak industri dalam meningkatkan pembangunan profesionalisme, pembangunan kecekapan, menyediakan peluang pembangunan kemahiran.

“Sabah juga telah menubuhkan jawatankuasa untuk memantau modal insan dalam sektor kritikal termasuk bidang minyak dan gas untuk memenuhi permintaan semasa dan akan datang dalam sektor ini,” katanya pada ‘Symposium On Unlocking Oil And Gas Potential In Sabah’ di salah sebuah pusat pelancongan di Tuaran semalam.

Teks ucapan Musa disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah.

Pada majlis itu, Raymond turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) di antara Sabah Energy Corporation (SEC) dan Gas Malaysia Berhad (GMB) untuk  meneroka peluang perniagaan dalam industri minyak dan gas serta biogas di Malaysia.

 

Tinggalkan komen anda