
Oleh Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran tegas kepada semua pengamal media, terutama media online untuk tidak melaporkan berita daripada sumber yang tidak disahkan atau sahih.
Beliau berkata berita berkaitan aktiviti keganasan Negara Islam (IS) dalam negara yang menggunakan sumber yang tidak boleh dipercayai akan menyebabkan kekecohan di kalangan rakyat.
Jelasnya, ia turut menimbulkan kerisauan kepada mereka walaupun sumber tersebut belum disahkan pihak berkuasa.
“Kita tidak tahu sumber mana yang diambil dan melaporkan. Mana tahu maklumat yang diperoleh dari penjual mi dan kita mahu tahu mana sumber itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, pihaknya telah mengeluarkan amaran kepada individu yang bertindak menyebarkan khabar angin yang boleh menimbulkan ketakutan orang ramai.
Tambahnya, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang masih mengulanginya lagi.
“Siapa juga yang mengulangi perkara ini selepas amaran dikeluarkan, kami akan ambil tindakan ke atas sesiapa sahaja.
“Ini perkara sensitif dan bukan untuk dipermainkan,” katanya.
Khalid menegaskan susulan serangan di Jakarta tempoh hari, polis meningkatkan tahap keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.
Katanya, langkah itu akan diteruskan sehingga perlu selain memberi keyakinan kepada masyarakat.