
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
KUALA LUMPUR, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Mimpi ngeri ibu bapa yang risau anak-anak mereka terdedah kepada pedofilia, pendera, dan penjenayah bakal berakhir apabila ‘Daftar Kanak-Kanak’ ditambah baik tahun ini.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, apabila ibu bapa mendaftar di taska atau pusat asuhan mereka juga boleh menyemak maklumat pengasuh demi keselamatan anak-anak.
Tambahnya, seramai 9.9 juta kanak-kanak di Malaysia terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan. Pihak kementerian akan mendapatkan butiran-butiran penjenayah atas kesalahan terhadap kanak-kanak yang disabitkan oleh mahkamah. Kerjasama polis dan orang ramai amat penting dalam menangani isu kanak-kanak.
Sementara itu, atas setiap kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan terhadap kanak-kanak yang melibatkan isu seperti mengemis, dan ditinggalkan tanpa pengawasan yang berpatutan setiap pesalah akan dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (CSO).
Beliau ditemui dalam sidang media berkenaan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 yang berlangsung di Institut Sosial Malaysia pagi tadi.
Pindaan tersebut akan dibincangkan dalam Dewan Rakyat Mac ini.