Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomePerakViral

MPM: Pastikan Rumah Bukan Sekadar ‘Mampu Lihat’ Sahaja

By 15 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa kerajaan memantau perancangan dan pembinaan projek perumahan untuk memastikan orang Melayu dan Bumiputera bukan sekadar ‘mampu lihat’ namun ‘mampu beli.

Menurut Setiausaha Agong MPM, Datuk Dr. Hasan Mad, isu ini selaras dengan teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Isnin lalu yang tidak puas hati terhadap sikap pemaju membangunkan rumah dengan harga mahal, selain banyak mempromosikan jualan dalam kalangan hartawan di luar negara.

Baginda yang bertitah pada majlis pengisytiharan Daerah Muallim sebagai daerah ke-11 di Perak itu turut mahu kerajaan berhati-hati dalam meletakkan kepentingan jangka panjang Bumiputera untuk mengelakkan penjajahan melalui pemilikan hartanah.

Beliau berkata MPM sangat terharu dengan kenyataan Sultan Nazrin yang sangat khuatir bahawa projek pembinaan rumah mampu milik akan menjadi “mampu lihat” sahaja kerana tidak mampu dibeli oleh rakyat tempatan.

 

mpme2

MPM terharu dengan kebimbangan Sultan Nazrin sekiranya projek pembinaan rumah mampu milik hanya menjadi “mampu lihat.”

 

Sementara itu, menurut Pengerusi Undang-undang dan Perlembagaan MPM, Tan Sri Aziz Abdul Rahman, dahulu semasa zaman pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdul Razak, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) ditubuhkan untuk memberi peluang kepada orang Melayu di bandar, selain menggalakkan yang berada di luar bandar datang ke Kuala Lumpur untuk berniaga. Namun, kini hanya 1% orang Melayu yang berniaga di Kuala Lumpur.

Tambah Hasan, pada masa itu UDA dan pihak pemaju negeri berjaya membangunkan kawasan perumahan Melayu, seperti Bandar Shah Alam, Selayang dan Bangi. Namun, UDA yang pada mulanya diswastakan telah dibubarkan pada zaman Tun Dr. Mahathir.

Sewajarnya, kerajaan kini meneruskan legasi Tun Abdul Razak sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, khasnya untuk membela nasib Bumiputera.

“MPM menyeru semua agensi kerajaan, negeri dan pihak berkuasa tempatan memantau industri ini supaya kepentingan perniagaan tidak seharusnya mengakibatkan rakyat kehilangan hak di buminya sendiri,” tegas Hasan dalam sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurutnya lagi, selain memantau aktiviti pemaju swasta, kerajaan juga harus memastikan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang diberi mandat untuk membina rumah-rumah yang mampu dimiliki oleh golongan rakyat berpendapatan pertengahan menepati matlamat yang ditetapkan.

Di bawah Agenda Perumahan Negara, PR1MA yang ditubuhkan pada 2012 diberi mandat untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara untuk golongan berpendapatan pertengahan dengan kualiti yang sama dengan rumah-rumah lain di pasaran terbuka.

MPM mewakili lebih 800 badan bukan kerajaan yang berjuang untuk memartabatkan bangsa Melayu sebagai bangsa ulung, dihormati dan disegani.

 

Tinggalkan komen anda