Skip to main content
EkonomiHomeViral

Pelaksanaan GST Selamatkan Ekonomi Negara – PM

By 8 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan April tahun lepas dilihat telah menyelamatkan ekonomi dan sistem kewangan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata pelaksanaan cukai tersebut telah berjaya meraih kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion dengan kutipan bersih RM27.126 bilion pada Disember lepas.

“Kutipan bersih GST itu dianggarkan meningkat kepada RM39 bilion pada tahun ini, pelaksanaan GST dari segi aspek makro menampung hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroleum.

“Maka, tidaklah salah kalau saya menyatakan bahawa dari segi makro, GST merupakan penyelamat kepada keadaan kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhan,” katanya dalam perhimpunan khas Kementerian Kewangan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan harga minyak dijangka akan kekal rendah pada tahun ini dengan penyusutan pendapatan kerajaan lebih RM30 bilion.

Tambahnya, jika harga tersebut berada pada paras US$32.35 atau US$36 setong, penyusutannya adalah lebih RM30 bilion.

“Bagi US$1 jatuh dari paras yang sebelumnya bererti bahawa kita berkurangan RM300 juta dari segi hasil kerajaan.

“Inilah keadaan yang kita berdepan dan kalau tiada GST, maka defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan lagi 3.1 peratus pada tahun ini,” katanya.

Berikutan itu, Najib berkata pihaknya telah mengambil inisiatif memperkenalkan pelbagai jenis insentif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Jelasnya, kerajaan telah membantu 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dengan peruntukan RM5.9 bilion melalui insentif BR1M bagi meringankan golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, beliau menggesa pegawai Kementerian Kewangan untuk menganjurkan program  kepada rakyat mengenai pelaksanaan projek-projek pembangunan, kemudahan pendidikan dan kesihatan yang disediakan kerajaan.

“Ramai masih tidak sedar dan mengambil kesempatan selama ini,” katanya lagi.

 

Tinggalkan komen anda