
Oleh B.Tanggamal (Kuala Langat)
KUALA LANGAT, 18 Jan (MalaysiaAktif) — Kira-kira 300 orang hadir untuk memeriahkan sambutan Pesta Ponggal 2016 peringkat Daerah Kuala Langat di perkarangan kuil Sungai Buaya, Banting, kelmarin.
Pesta anjuran pihak kuil dengan kerjasama MIC Kuala Langat ini juga bertujuan untuk membantu mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat.
Tetamu kehormat, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan, mengucapkan syabas atas kejayaan pihak kuil yang menganjurkan program seperti ini.
Beliau yang hadir kali kedua ke kuil itu meminta pihak kuil membantu masyarakat setempat dalam kebajikan mahupun membantu pelajar-pelajar miskin yang memerlukan bantuan selain menjalankan aktiviti keagamaan.
Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan akan sentiasa membantu dan menjaga kebajikan masyarakat India.
Perayaan Ponggal merupakan perayaan menuai yang diraikan oleh masyarakat Tamil selama 4 hari bermula pada 15 Januari lepas, iaitu permulaan bulan Thai mengikut kalendar Tamil. Sambutan ini bagi melahirkan kesyukuran ke atas nikmat yang telah diperoleh daripada hasil bumi ini.