Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

RM200 Juta Untuk Pembangunan Belia Sabah

By 7 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Asmidar Zainol & Mastim Kiriman (Sabah)

KOTA KINABALU, 7 Jan (Malaysiaktif) –? Kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta bagi melaksanakan program-program latihan, pembelajaran, kemahiran, keusahawanan, pemantapan jati diri, peradaban serta keupayaan serta memantapkan semangat berpasukan khusus bagi pembangunan belia di Sabah.

“Sebagai pemimpin masa hadapan, golongan belia hari ini akan menentukan kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati agar dapat terus dipelihara dan dipertahankan”.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata demikian semasa berucap melancarkan Indeks Belia Sabah (IBS) 2015 di sini sebentar tadi.

Sabah merupakan negeri pertama melaksanakan inisiatif berkenaan melalui IBS ’15 bagi mengukur kesejahteraan hidup belia di negeri ini.

Program ini melibatkan seramai 4,027 responden dari 28 daerah seluruh Sabah, yang mula dilaksanakan Oktober tahun lepas berikutan pelancaran IBS Peringkat Kebangsaan.

Pembangunan IBS ’15 merupakan hasil kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBSM) melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Kementerian Kesihatan, Jabatan Perangkaan Negara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata IBS ’15 merupakan penanda aras untuk menyediakan input polisi dan dasar berkaitan pembangunan belia.

“Laporan IBS’15 menunjukkan tahap kesejahteraan belia Negeri Sabah berada pada tahap sederhana dengan skor 68.68.

“Penambahbaikan perlu dilaksanakan secara bersepadu oleh semua agensi berkaitan berdasarkan hasil dapatan yang diperoleh bagi melahirkan belia yang unggul serta mampu mendepani segala cabaran masa hadapan,” jelas Khairy.

Antara yang perlu diberi perhatian dan memerlukan penerangan oleh pelbagai pihak bagi mempertingkatkan prestasi skor adalah Kesejahteraan Ekonomi (57.50) di mana Belia Sabah berada pada tahap Kurang Memuaskan.

 

Tinggalkan komen anda